Dituduh paksa suami ceraikan isteri kedua, madu Nora Ariffin akhirnya buka mulut

Oleh MALAYSIADATELINE

Tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai penceraian antara madu iaitu penyanyi Datuk Nora Ariffin dan suami Dr Rushdi Ramli, akhirnya Ustazah Rose Aliza Sutrisno tampil membela diri.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Rose Aliza akhirnya membuka mulut mengenai dakwaan dirinya dan anak memaksa Nora dan suami untuk bercerai.

“Sejujurnya, selama ini saya memilih untuk berdiam diri ketika diri saya diperkatakan secara salah di media sosial kerana tidak mahu membuka aib sesiapa. Saya juga mahu menjaga maruah suami dan nama baik madu saya.

“Namun, apabila keluar kenyataan di media sosial bahawa saya dan anak telah memaksa suami menceraikan madu saya, ditambah pula dengan hantaran tulisan lama saya kepada madu yang pernah saya coretkan pada tahun 2019 dulu.

“Di saat saya baru mengetahui tentang pernikahan mereka yang telah setahun berlangsung tanpa pengetahuan saya, dimuat naik untuk memburukkan saya, maka dengan berat hati saya tampil menjelaskan perkara sebenar,” jelasnya dalam hantaran di Facebook.

Nora muat naik tangkap layar perbualan lama

Jelas Rose Aliza ramai yang mula betanya kesahihan cerita dikeluarkan Nora, namun segala bukti yang dikeluarkan itu sudah lama berlaku dan dia bukanlah orang yang meminta mereka untuk bercerai.

Dalam perkongsian itu, Rose Aliza memaklumkan suami mendengar nasihat individu lain sebelum menceraikan madunya, Nora pada tahun 2019.

“Ada seorang insan yang sangat rapat dengan suami saya tidak perlulah saya sebutkan namanya kerana insan ini sudah tiada di dunia, telah merayu dan memohon agar suami saya menceraikan madu saya.

“Hal ini dilakukannya atas sebab-sebab tertentu dan bersandarkan pengalaman hidupnya sendiri sebagai anak dalam keluarga yang berpoligami. Akhirnya suami saya akur dengan permintaan insan tersebut

“Kejadian berlaku pada tahun 2019 dan tidak adapun panggilan telefon daripada saya atau sesiapa selepas subuh yang memaksa suami saya untuk menceraikannya seperti yang didakwa dalam media sosial. Malangnya video yang sepatutnya disimpan telah dimuat naik pada 12 Ogos 2024,” jelasnya.

Dalam pada itu dia tidak menafikan tulisan anaknya di media sosial yang hanya mahu mempertahankan hak ibunya.

“Di sini, saya ingin semua tahu dan faham bahawa saya atau anak saya, Alia tidak pernah memaksa suami saya menceraikan madu saya.

“Tulisan yang dimuat naik oleh madu saya itu hanyalah luahan lama saya, ditulis dalam keadaan emosi dan perasaan yang sangat terguris ketika baru mengetahui tentang perkahwinan mereka yang disembunyikan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk membersihkan nama baik anak saya, Alia. Saya tidak nafikan bahawa tulisannya kepada madu saya yang ditulis pada tahun 2020 agak keterlaluan.

“Hakikatnya, tulisan itu lahir daripada rasa jengkel dan kecewa seorang anak yang masih kurang matang apabila mengetahui ayahnya telah berkahwin lagi tanpa pengetahuan kami sekeluarga,” tambahnya.

Pada masa sama Rose Aliza memaklumkan dia dan anaknya sudah meminta maaf namun tidak faham mengapa Nora masih memuat naik hantaran lama mereka berdua.

“Saya telah pun membuat permohonan maaf kepada madu saya secara peribadi melalui pesanan whatsapp pada 1 Ogos 2021. Segala yang berlaku antara kami ketika itu saya anggap sudah selesai secara baik.

“Saya sudahpun menerima keadaan saya yang bermadu dan tidak lagi berdoa atau berharap mereka akan berpisah. Saya berharap ustaz dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Alia juga telah memohon maaf secara peribadi kepada madu saya pada bulan September 2020. Namun, amat saya kesali apabila tulisan lama yang telahpun dipadam itu dikitar semula oleh madu saya pada tahun 2025

“Akhir kata, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa saya menulis bukan untuk membalas dendam, jauh sekali untuk mengeruhkan keadaan.

“Saya hanya mahu menjelaskan apa yang berlaku agar tidak timbul lagi salah faham dan fitnah yang berpanjangan terhadap diri saya, anak-anak serta keluarga saya,” tegasnya.

Baca juga: Hakim dengar rayuan Syed Saddiq, tiada keputusan ketepi sabitan dan hukuman hari ini