Dituduh tak ‘move on’, Sherry Ibrahim bagi amaran dekat netizen

Oleh MALAYSIADATELINE

Kebanyakan selebriti tidak berkongsi percintaan mereka kepada umum namun itu tidak menghalang netizen daripada meninggalkan komen-komen tentang ‘pendapat’ mereka.

Dituduh masih teringat akan episod cinta bersama bekas kekasih, pelakon Sherry Ibrahim kesal dengan sikap sesetengah netizen yang gemar meninggalkan komen berbaur fitnah.

Menurut HibGlam, Sherry mengakui dirinya tak mampu menghalang komen-komen yang ditinggalkan di media sosial namun tidak akan berdiam andai ia melampaui batas.

“Kita tak boleh kawal pandangan orang, tetapi hakikatnya tiada siapa pun yang kenal siapa diri saya sebenarnya.

“Saya juga tiada kuasa untuk menghentikan mereka daripada bercakap perkara tidak benar.

“Berdiam dan bersabar memang bagus, tetapi jika terus membisu, kita akan ditindas dan dipijak. Itu bukan caranya,” katanya seperti dipetik HibGlam.

Jelasnya ada masa komen tersebut dilihat melampaui batas sehingga isu itu menjadi bahan fitnah dan pergaduhan.

“Apa sahaja berlaku sebelum ini adalah sejarah hidup saya. Mereka tidak tahu cerita sebenar, tetapi membuat andaian mengikut tafsiran sendiri.

“Kadangkala, ada yang melampaui batas sehingga menjadikan isu tersebut bahan fitnah dan perbalahan. Walhal, niat saya tidak pernah seperti itu.

“Saya tak suka baca komen, tetapi bila melihat ada yang sangat melampau, takkan saya nak berdiam?

“Sebagai manusia, saya ada hak untuk menyuarakan pandangan. Mereka perlu diberi amaran kerana perkara ini melibatkan emosi dan mental saya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Sherry mengakui akan mengambil tindakan undang-undang jika keadaan memerlukan selepas dinasihati seorang peguam.

Baca juga: “Kita tunggu episod seterusnya” – Along Cham sahkan lafaz cerai taklik hari ini