Seorang doktor di Thailand didapati melanggar undang-undang perubatan selepas didakwa membuat siaran langsung di TikTok ketika sedang melakukan pembedahan di sebuah bilik bedah.
Doktor berkenaan juga didapati mengabai privasi pesakit apabila membuat siaran langsung berkenaan tanpa kebenaran.
Difahamkan, pembedahan kemungkinan berlaku pada jam 3 pagi berdasarkan tangkap layar yang dikongsi pengguna media sosial selepas menonton rakaman berkenaan.
“Seminit lalu, seorang doktor membuat siaran langsung semasa menguruskan pesakit di TikTok. Adakah ini sesuai?” kata pengguna Twitter yang memuatnaik tangkap layar tersebut seperti dilapor Agensi.
Sementara itu, pengguna lain turut tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh doktor terbabit dan menganggap dia sudah melanggar privasi pesakit.
Majlis Perubatan Thailand dilaporkan sedang mencari identiti doktor itu kerana disyaki melanggar undang-undang yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Setiausaha Tetap Majlis Perubatan Thailand, Ittaporn Kanacharoen, memuat naik satu hantaran di Facebook bahawa pihaknya menyedari isu tersebut.
Menurut beliau, pihaknya akan menyiasat kes itu dan mengenakan tindakan tatatertib terhadap doktor terbabit mengikut Akta Profesion Perubatan Thailand.
Sementara itu lapor stesen TV Thailand, doktor tersebut telah memohon maaf atas tindakannya di ruangan komentar di bawah video tersebut.
“Saya ingin memohon maaf. Saya menyiarkan secara langsung pembedahan kerana saya fikir wajah pesakit dan proses pembedahan tidak dilihat dalam video.
“Ia adalah salah saya. Saya memohon maaf kepada semua orang atas kelalaian saya,” katanya.
Baca juga: Pemandu ambulans tunjuk rakaman diganggu makhluk halus yang menangis tiba-tiba
Baca juga: Ustaz Kazim tarik diri berpunca dari hal keluarga, tidak mahu ‘berlaga’ dengan abang