Doktor minta pantau aktiviti anak, dedah kes remaja lelaki 16 tahun mengadu keluar nanah dari alat sulit

Oleh WAN SITI AMINAH

Kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut universiti dan pelajar sekolah dilaporkan menunjukkan peningkatan di mana jangkitan akibat aktiviti seksual menjadi salah satu punca utama.

Hal ini sudah tentunya mengundang kegusaran terutama tentang tahap kesedaran ibu bapa sehinggakan seorang pegawai perubatan dikenali sebagai Dr Samhan Ahmad Awang tampil mendedahkan kes sebenar ditanganinya.

Perkara itu diceritakan menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya dengan harapan dapat membuka mata ibu bapa untuk lebih mengawasi aktiviti dan pergaulan anak-anak mereka.

Menurut Samhan, kejadian itu bermula apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun datang menemuinya dan mengadu terdapat nanah terkeluar daripada kemaluan pesakit tersebut.

“Aku seperti dapat menjangka. Aku cakap, ‘Saya nak adik jujur. Adik ada melakukan hubungan seks dengan sesiapa tak? Kalau adik tak jujur, doktor tak boleh tolong adik’. Dia jawab ada sebelum tertunduk malu.

“Kata remaja terbabit, ‘Minggu lepas kawan ajak ke Siam, sengaja nak jalan-jalan. Kemudian kawan ajaklah ke satu tempat, dia kata nak cuba sesuatu yang baharu. Saya ikut sahaja’. Aku tarik nafas panjang. Mengeluh.

“Remaja itu nampak baik, muka suci. Mungkin ramai ibu bapa terlepas pandang untuk pantau aktiviti anak-anak di disebabkan kesibukan kerjaya. Perlu tahu dengan siapa mereka berkawan dan keluar,” kesalnya.

Lebih mengejutkan, remaja terbabit berhubungan intim dengan ‘pelacur’ yang dikatakan masih muda sebelum menyerahkan wang berjumlah RM50 dibekalkan oleh ibunya ketika diminta untuk membuat bayaran.

Dr Samhan kemudian memberi nasihat kepada remaja terbabit untuk lebih berhati-hati dalam berkawan selain tidak terikut-ikut melakukan aktiviti haram yang bukan sahaja berdosa malah turut menjejaskan kesihatan.

“Aku cakap, ‘Adik, awak ini kalau nak berkawan kena pilih juga. Jangan mudah terikut-ikut. Kena tahu bezakan yang mana haram ataupun halal. Kemungkinan besar awak ini dijangkiti penyakit kelamin’.

“Muda-muda sudah ada penyakit kelamin. Masih jauh lagi perjalanan hidupnya. Saya juga cadangkan supaya remaja terbabit segera bertaubat,” katanya dalam perkongsian itu dengan harapan kejadian sama tidak berulang lagi.

Dalam pekongsian yang sama, pegawai perubatan itu turut menggesa ibu bapa menjalankan peranan untuk mendidik anak-anak terutamanya mengenai pendidikan seks di peringkat awal.

Ibu bapa tidak perlu merasa malu dalam usaha memberi pendidikan seks kepada anak mereka selain pemantauan aktiviti dilakukan oleh kanak-kanak ini juga adalah antara perkara yang sangat penting ketika dunia semakin maju.

“Jangan malu untuk memberi pendedahan awal tentang pengetahuan seks dengan anak-anak. Beritahulah apa itu baligh, haid, seks halal serta haram. Jangan hanya lepas tangan pada guru untuk didik semua aspek kehidupan.

“Aku juga memiliki anak lelaki dan dua orang perempuan. Aku juga risau jika terlepas pandang tentang perkara ini. Malah sekarang adalah zaman tanpa sempadan. Semua boleh diperoleh hanya di hujung jari.” Kongsinya.

Baca juga: Warga Singapura rasa gaji mereka lebih baik dari rakyat Malaysia, hakikatnya sesak di negara sendiri