Vaksin Covid-19 dikatakan hanya bertahan lapan hingga sembilan bulan sahaja. Adakah perlu dos tambahan?
Ya. Kajian mendapati antibodi bertahan dalam tempoh lapan bulan. Namun, perlu diingatkan juga bagi mereka yang dapat jangkitan semulajadi pun antibodi mereka akan bertahan dalam tempoh yang sama.
Di sinilah ikhtiar kita. Jangan anggap sekali cucuk boleh kebal seumur hidup. Sains itu bersandarkan fakta dapatan kajian yang terbaharu yang lebih yakin dan kukuh, kita tidak boleh berandai-andai dalam bab ini.
Kami di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini tiap-tiap tahun cucuk vaksin influenza. Tiada masalah. Bahkan, petugas haji atau mutawif haji dan umrah, setiap tiga tahun sekali diwajibkan suntik vaksin meninggokokal. Tiada masalah besar pun.
Sebabnya, kajian mendapati antibodi berkurang berkadar dengan masa.
Selepas itu perlukah divaksin lagi dan lagi (Dos 3, 4 …)? Adakah ini boleh dianggap sebagai wiqayah atau pencegahan?
Jawapannya, inilah ikhtiar yang termampu kita lakukan. Buat masa ini, tiada lagi ubat atau vaksin yang boleh mencegah mati.
Namun, terbukti setakat ini vaksin boleh mencegah dijangkiti dalam peratusan tertentu, boleh menurunkan kes-kes kritikal dan menurunkan kes kematian dalam negara kita bahkan seluruh dunia.
Inilah namanya wiqayah atau pencegahan. Jika nak tunggu semua sempurna 100 peratus, kucing bertanduklah. Banyak sahaja kes-kes rawatan penyakit lain tidak dijamin 100 peratus, takkan kita nak tolak?
Hatta makan pil perancang pun tiada jaminan tidak mengandung 100 peratus. Kita pakai payung semasa hujan pun tiada jaminan tidak basah 100 peratus.
Vitamin atau makanan herba yang didakwa kononnya mencegah atau mampu merawat Covid-19 oleh sesetengah pihak itu pun kena telan hari-hari.
Walaupun secara saintifik tiada pun keberkesanannya, tetapi boleh pula ada yang percaya? Apabila kerajaan minta suntik vaksin, banyak pula alasannya.