Drama Bidaah raih sambutan hangat di negara seberang, duduki tangga 1 di Viu Indonesia

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, drama terbitan Viu Malaysia berjaya meraih sambutan hangat sehingga menduduki tangga pertama Drama Paling Popular di platform penstriman itu bukan sahaja di negara ini malah di Indonesia juga.

Drama berjudul Bidaah yang dibintangi oleh Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana itu juga telah meraih lebih daripada 134 juta tontonan serta 44 juta capaian di media sosial Viu Malaysia.

Lebih mengejutkan, karya penerbit dan pelakon terkenal iaitu Erma Fatima itu juga selesa di tangga teratas dengan mengatasi drama bersiri popular Korea Selatan seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group.

Manakala rata-rata pengguna platform Viu dari Indonesia pula berpendapat bahawa drama yang mula ditayangkan sejak 6 Mac lalu itu dikatakan sangat relevan selain dekat dengan realiti kehidupan mereka.

Namun perkara yang lebih mengagumkan adalah drama Bidaah turut menjadi salah satu carian paling popular di negara jiran lain termasuk Thailand, Singapura dan Brunei berdasarkan data daripada Google Trends.

Sekadar info, antara pelakon lain yang turut terlibat dalam pembikinan drama berkenaan ialah Fazlina Ahmad Daud, Vanidah Imran, Fathia Latiff, Marisa Yasmin dan Hasnul Rahmat.

Terdahulu, karya yang bertemakan kisah ajaran sesat itu telah mengundang perbincangan hangat di media sosial susulan tularnya satu rakaman memaparkan babak tidak sesuai untuk tontonan umum antara Vanidah dan Faizal.

Dalam rakaman tersebut, Vanidah yang berperan sebagai Ummi Rabiatul telah bertindak menyentuh janggut Faizal iaitu pembawa watak Walid dengan menggunakan kaki dalam satu sedutan babak di atas katil.

Baca juga: Wanita penat orang sekeliling asyik berharap duit raya hanya kerana dia pandu BMW