Dua beradik perempuan yang tular kerana menyerahkan ibu kandung mereka ke rumah jagaan warga emas akhirnya kembali menjemput wanita berkenaan, selepas dikecam hebat netizen.
Menurut laporan AFP, kejadian itu berlaku di Rumah Warga Emas Griya Lansia Husnul Khatimah di Jawa Timur, Indonesia.
Dalam insiden yang menjadi sorotan sejak Sabtu lalu, kedua-dua anak perempuan terbabit yang dikenali sebagai SR dan F, dilihat mengiringi ibu mereka, Nasikah, ke rumah jagaan sambil menandatangani dokumen pelepasan tanggungjawab.
Lebih mengejutkan, mereka turut bersetuju agar pihak rumah jagaan tidak perlu menghubungi mereka sekiranya ibu mereka meninggal dunia.
“Kalau sudah diserahkan, tiada lawatan, tiada berita. Kalau meninggal dunia, kami pun tidak akan maklumkan,” kata penjaga rumah jagaan yang disambut anggukan bersetuju oleh dua beradik tersebut.
Walaupun SR dan F sudah kembali ke rumah jagaan untuk menjemput semula ibu mereka, ramai pengguna media sosial meluahkan kebimbangan jika tindakan itu hanya dilakukan akibat tekanan awam.
“Tiada jaminan ibu ini akan dijaga dengan baik. Jangan sampai dia diambil hanya kerana takut dikritik,” kata pengguna Firdaputri.
“Anak seperti ini hanya kasihan pada diri sendiri, bukan pada ibu yang melahirkan,” kata Abiyyu.
“Tak sanggup jaga ibu, tapi sempat berhias dan aktif di media sosial. Sedih,” tulis Salwaid.
Dalam gambar yang tular, kelihatan kedua-dua beradik itu menundukkan kepala dalam keadaan malu sambil berdiri di belakang kerusi roda yang dinaiki ibu mereka yang hanya berdiam diri sambil memeluk erat barangan peribadinya.
Baca juga: Selepas 2 minggu kehilangan ibu, ayah mentua Hamzah Zainuddin pula meninggal dunia