Dua bulan berehat dari media sosial, Abang Tanjak sedar ‘Misi’ tak boleh pergi jauh

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi mula menyedari hasratnya untuk membina ekosistem baharu di dalam pasaran tempatan kemungkinan tidak berjaya.

Jelas personaliti yang mesra disapa Abang Tanjak itu, perkara tersebut disedarinya ketika membuat keputusan untuk berehat daripada sosial media selama dua bulan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, pemilik akaun Founder Misi itu berkata, perkara ini berpunca daripada hal pengurusan yang terlalu bergantung kepadanya.

“Sebagai pengasas yang selalu menjadi muka di media sosial untuk Misi. Saya rasa banyak perkara bergantung terlalu kuat pada saya. Kemudian saya sedar, Misi tidak boleh pergi jauh.

“Selama ini saya bangunkan aplikasi sendiri, fikir perkembangan Misi sendiri, fikirkan langkah seterusnya sendiri dan mencipta content (kandungan) sendiri. Jadi hampir semuanya saya perlu gerakkan sendiri.

“Sehingga pasukan pentadbiran jadi tergantung, rider (penunggang perkhidmatan penghantaran) dan penjual terjejas disebabkan perjalanan yang sangat perlahan. Hakikatnya Hijab Misi adalah Diri saya sendiri,” katanya.

Hal ini bermaksud, banyak perkara bakal tergendala sekiranya Faiz mengambil cuti kerana lelaki berusia 33 tahun itu terpaksa menggerakkan platform Misi seorang diri.

Oleh yang demikian, Faiz memutuskan untuk melantik sembilan ketua digelarkannya ‘Chief’ bertujuan menjaga jabatan masing-masing dalam menjalankan Misi Rakyat.

“Saya jelas dan berani ambil satu langkah yang boleh meletakkan Misi tegap di atas jalan yang asal iaitu Misi Rakyat. Sebelum Subuh, saya membuat keputusan untuk membina sembilan ‘Chief Department’ serentak.

“Setiap Chief akan memimpin jabatan utama seperti teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), operasi, pemasaran, logistik, rakan penghantar, rakan kongsi, setiausaha, sumber manusia dan kewangan.

“Semua jabatan tersebut adalah perkara yang selama ini ditanggung oleh fikiran saya sendiri. Akhirnya semua dapat dipimpin secara berasingan oleh pasukan profesional yang sedia ada dan baharu,” jelasnya.

Berhubung kutipan tabung Misi Rakyat yang masih lagi berbaki, Faiz memaklumkan pihaknya melantik pengaudit bebas untuk bekerjasama dengan akauntan syarikat.

Difahamkan, badan bebas itu akan tidak akan membuka tabung baharu selepas ini sebaliknya membantu masyarakat menggunakan hasil diperoleh perniagaan sahaja.

“Kita juga ada beberapa tabung Misi Rakyat sebelum ini yang masih berbaki. Pasukan akauntan dan pengaudit luar sedang bekerja bagi memastikan setiap sen yang berbaki untuk kita sempurnakan dalam masa terdekat.

“Sebaik selesai, Misi tidak akan membuka tabung baharu lagi dan bergantung kepada keadaan sahaja jika Allah gerakkan kita. Bantuan masyarakat akan dibuat dengan hasil dari perniagaan aplikasi Misi sendiri sahaja selepas ini.

“Sasarannya ialah membangunkan ekonomi baru rakyat. Hasil ekonomi ini akan disalurkan pula untuk membuat perubahan di dalam masyarakat tak kira bangsa dan agama. InsyaAllah.” Ujarnya.

Baca juga: Lelaki naik hantu peniaga di Sabah jual nasi lemak telur RM8, tapi lain pula komen netizen ‘back up’ peniaga