Produk kosmetik Qu Puteh Whiening Pro 9 dan dan Qu Puteh Whitening UV Block disahkan mengandungi merkuri tidak dibenarkan kandungannya di dalam kosmetik, dilarang penjualannya di Malaysia.
Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang mengalami tinnitus (ringing in the ears) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block (NOT151106645K) selama lebih kurang tiga bulan.
Pengguna telah pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk-produk tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, BPFK telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block.
“Hasil pengujian menunjukkan salah satu produk tersebut iaitu produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri pada paras yang tinggi.
“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan.
“Produk kosmetik tidak boleh mengandungi merkuri kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Notifikasi produk Qu Puteh Whitening Pro 9 telah dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggilbalik kesemua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
Menurut laporan The Times Brunei, Kementerian Kesihatan Brunei mengharamkan penjualan produk kosmetik krim Whitening Pro 9 Qu Puteh dan produk kosmetik Whitening UV Block Qu Puteh, dan produk ketiga yang dinamakan Chantique Beauty Slimming Herbal.
Sesiapa yang mempunyai stok produk di atas dinasihatkan menghentikan penjualan/ pengedaran/penggunaan produk tersebut dengan serta-merta.
Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna digalakkan untuk melapor kepada BPFK mengenai sebarang kesan sampingan atau kesan advers yang dialami apabila mengguna sesuatu produk kosmetik di talian 03-78018496/78835532 atau melalui emel [email protected] serta mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar yang segera.