Duit habis dilayan GRO warga asing, isteri nekad buat aduan dekat JIM

Oleh MALAYSIADATELINE

Sudah ada keluarga masih lagi nak hidup dalam dosa, duit yang sepatutnya dibelanjakan buat keluarga dihabiskan buat memenuhi nafsu di luar rumah.

Seorang wanita mengaku tidak tahan dengan sikap suami yang culas dalam memberi perbelanjaan keluarga selepas kantoi ketagih dengan gadis pelayan pelanggan (GRO) wanita warga Vietnam.

Disebabkan itu dia nekad membuat aduan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) lapor Harian Metro.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkongsi wanita tempatan berusia 30-an memaklumkan suaminya mula terjebak berhibur di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling, sejak setahun lalu.

Lebih mengecewakan lelaki berkenaan seolah-olah ketagih sehingga sanggup ke kelab itu beberapa kali dalam seminggu.

“Susulan aduan itu, JIM KL melakukan serbuan ke atas premis berkenaan menerusi Ops Gegar yang bermula 12.40 tengah malam tadi.

“Dalam serbuan itu, seramai 34 individu ditahan termasuk 27 wanita warga asing dan tempatan disyaki GRO berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

“Tiga daripada tangkapan adalah warga tempatan, Thailand (16), Laos (enam), Myanmar (lima) dan Vietnam (empat).

“GRO ini menerima tips daripada pelanggan untuk teman minum dan berhibur, manakala warga tempatan dipercayai sebagai pengurus, bouncer serta penjaga wanita asing terbabit,” katanya.

Dalam pada itu Wan Mohammed Saupee memaklumkan secara keseluruhannya, seramai 90 individu diperiksa dalam operasi itu.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Tangkapan warga tempatan juga disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya.

Baca juga: Lain daripada yang lain! Pengantin ini terima set tilam sebagai hadiah kahwin dari rakan