Siapa sangka, wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM750,000 milik bekas pengurus syarikat jualan langsung ‘licin’ dalam tempoh tujuh tahun.
Bekas pengurus bahagian Pantai Timur dikenali sebagai Abdul Rahman Abdullah itu mendedahkan bahawa wang tersebut dihabiskan untuk mengubah suai rumah dan kenduri kahwin anak.
Menurut Abdul Rahman, duit KWSP miliknya itu mula susut kerana digunakan untuk menampung kehidupan keluarga sepanjang tempoh persaraan bermula pada tahun 2017, lapor Sinar Harian.
Jelasnya, keputusan untuk bersara pada usia 57 tahun diambil selepas menyumbang khidmatnya selama 27 tahun bersama sebuah syarikat swasta yang berpangkalan di luar negara.
“Saya menerima wang persaraan berjumlah RM750,000 iaitu RM500,000 bagi Akaun 1 manakala RM250,000 daripada Akaun 2. Duit itu digunakan untuk mengubah suai rumah kira-kira sebanyak RM200,000.
“Ia merangkumi pembinaan pagar konkrit, menambah bahagian dapur dan garaj. Sebanyak RM70,000 lagi digunakan untuk melaksanakan kenduri kahwin dua anak perempuan pada tahun 2016 dan 2018.
“Manakala selebihnya habis digunakan bagi belanja makan, minum, kos elektrik, air dan internet serta petrol kereta sepanjang bersara,” kata lelaki berusia 64 tahun itu memetik laporan Sinar Harian.
Bapa kepada lima cahaya mata itu memberitahu, pengubahsuaian rumah tersebut dilakukan untuk memberi keselesaan kepada anak-anak yang sudah berkeluarga ketika pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Tambahnya lagi, peningkatan kos sara hidup bersama harga barangan yang semakin mahal saban hari juga menjadi faktor penyumbang kepada duit KWSP miliknya cepat habis.
“Setiap kali keluar membeli lauk-pauk, perlu ada RM100 atau lebih. Jadi nasihat saya kepada pesara agar perlu berjimat-cermat supaya wang KWSP dapat terus membantu kehidupan selepas tidak bekerja.
“Saya bernasib baik kerana isteri (62 tahun) adalah pesara kerajaan yang menerima sejumlah pencen dan dapat membantu menampung perbelanjaan kami seterusnya dalam menghabiskan usia tua.” Ulasnya.