Duit PTPTN mak bapa ambil, individu dedah punca pelajar terjebak akaun ‘DS’

Oleh MALAYSIADATELINE

Kebanyakan individu yang memiliki akaun ‘Dark Side’ atau DS menjadikannya sebagai ruang gelap untuk menjual diri demi mendapatkan wang dalam masa singkat, sekali gus membuka pintu kepada pelbagai risiko dan eksploitasi.

Seorang pengguna Threads, hzqhlcious, mendedahkan pengalamannya membantu beberapa wanita.

Ini adalah termasuk dua pelajar universiti untuk keluar daripada dunia eksploitasi seksual selepas mereka terjebak akibat kesempitan hidup.

Menurutnya, dua pelajar tersebut terpaksa melacur selepas wang pinjaman pendidikan (PTPTN) mereka didakwa diambil oleh ibu bapa.

“Bukan aku nak kecam DS atau pelacur, tapi aku dulu pernah selamatkan dua orang pelajar yang buat benda ni. Mereka terpaksa melacur sebab kemiskinan.

“Ibu bapa ambil PTPTN mereka. Jujur cakap, apa yang mereka lalui dengan lelaki memang serius mempengaruhi mental.

“Lelaki ni, walaupun kau bukan DS atau pelacur, bila mereka tahu kau pernah terlanjur, memang mereka nak ‘rasa’ kau juga. Bila dah dapat, mereka putar belit dan tak akan bertanggungjawab.

“Dua pelajar yang aku tolong dulu dah berjaya ubah hidup. Seorang kini jadi guru, seorang lagi bekerja sebagai penolong jurutera di Singapura,” kongsinya di Threads.

Tambahnya lagi, dia menyokong kedua-dua pelajar itu dari segi kewangan bagi memastikan mereka dapat keluar sepenuhnya daripada dunia gelap tersebut.

“Aku dah masak dengan dunia macam ni. Aku tolong ramai perempuan keluar dari dunia tu. Ingat boleh kaya ke buat benda-benda ni?

“Kebanyakan lelaki nak benda ‘free’ sahaja dan tak bagi duit pun,” katanya.

Wanita itu turut memberi amaran tentang risiko kandungan peribadi mudah bocor di platform seperti OnlyFans, laman lucah dan saluran Telegram.

Bagaimanapun, dia juga mengakui ada yang mengambil kesempatan terhadap kebaikannya.

“Ada juga yang bila kita buat baik, mereka khianat balik bila kita dah tak mampu nak bantu dari segi kewangan,” katanya.

Baca juga: Suami nekad elak konflik, minta isteri suri rumah berlakon pergi kerja depan ibu bapa