Bencana banjir yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur disifatkan sebagai suatu melankolik kolektif, kehibaan dan kedukaan bersama.
Pengawajahan ini kita saksikan melalui media sosial mengenai kisah keluarga yang naik ke atas bumbung berada dalam keadaan kesejukan, mendukung dan mengendong anak meminta bantuan, kisah mereka yang keretanya rosak, hanyut dan ditenggelami air, bermalam dalam kereta dan mereka yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dimasuki dan ditenggalam air dan ada rumah dibawa arus sungai yang deras.
Kesengsaraan yang belum reda daripada kesan Covid-19 kini dideritai oleh rakyat yang dilanda bencana banjir besar.
Pelbagai realiti ini dapat disaksikan melalui keupayaan teknologi rakaman yang melintasi ruang waktu yang hadir dalam minda dan indera kita pada setiap detik yang menyentak nurani setiap orang untuk berkongsi duka.
Ia menjadi pengwajahan bencana di layar skrin komputer, tablet, telefon bimbit menerusi internet dan WiFi.
Realiti kedukaan menjelma menjadi pengwajahan penderitaan rakyat negara ini dengan pelbagai imej bencana banjir yang hadir dalam kemampatan ruang-waktu yang mengetuk pintu kesedaran dan keprihatinan manusia, meninggalkan jejak kesedihan mendalam sekaligus membangkitkan rasa kebersamaan di dalam diri.
Saya teringat kepada sebuah karya yang dihasilkan oleh seorang tokoh semiotika Peranchis, Paul Virilio sekitar 1990 dahulu bertajuk Open Sky yang menyatakan dalam era digital pelbagai realiti harian termasuk malapetaka, tragedi dan bencana dapa dirasai dalam bentuk stereo-realiti.
Maksudnya kecepatan digital ini menghadirkan wajah bencana dalam kedukaan seperti kesedihan dan tangisan, teriakan meminta tolong, kemarahan di mana pemimpin politik ketika bantuan sangat diperlukan, pandangan yang diluahkan kerana kebebalan pihak berkuasa contohnya.
Ramai yang menerima stereo-realiti ini melalui medsos dan amat prihatin, hiba dan penuh pilu serta memberikan bantuan kepada yang menjadi mangsa.
Ini ditambah dengan tontonan dron bagaikan mata helang yang meninjau kawasan sasaran mangsa, ia membentuk suatu geografi bencana dan juga geografi pengawajahan medsos.
Sesungguhnya steoreo-realiti dan geografi bencana diharapkan tidak meninggalkan kesan sementara bagaikan suatu tontonton hiburan yang kemudian dilupakan, kehilangan demensi kerohanian dan hakikat untuk perenungan di masa hadapan.
Ia nanti akan tenggelam dan terakam dalam arkib Youtube, Tiktok, Telegram dan seumpamanya. Bencana alam seperti banjir ini yang berlaku di Selangor adalah kejutan yang seharusnya menyedarkan pengguna media digital bahawa ada dimensi kedalaman hakikat, kerohanian kemanusiaan menambahkan lagi perenungan kearifan selain berhadapan dengan SOP, ancaman varian baharu dan kes Covid-19.
Bencana banjir dan Covid-19 mampu mengajak setiap orang kembali menjadi ahli ibadah dan ahli falsafah seharian, mingguan, bulanan dan tahunan untuk terus cekal dan bertakwa dengannya. Ia dapat juga membawa manusia kepada hakikat paling mendalam untuk sentiasa mengingati Alllah swt di sebalik kejadian bencana.
Pengajaran bencana ini membawa kepada sejauh manakah hubungan vertikal kita dengan Tuhan, yang harus terus dihubungkan.
Keduanya, mengeratkan hubungan horizontal sesama manusia dalam persaudaraan dan kasih-sayang. Seperti banyaknya stereo realiti dan dron yang kita kita terima mengenai keadaan bencana, sayang sangat sedikit yang kita terima pengwajahan pemimpin kerajaan saat bencana banjir yang terjun bersama pasukan bantuan di kawasan kritikal ketika sangat memerlukan kehadiran mereka dalam audio visual..
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).