Dulu ambil upah RM60 sehari potong rumput, sekarang gaji dah cecah lima angka

Oleh KIM SYAZIE

Bermula dengan mengambil upah memotong rumput, seorang anak muda di Perak kini berjaya membina syarikat sendiri yang menawarkan perkhidmatan landskap dengan pendapatan mencecah lima angka sebulan.

Mohamad Nur Syaaban Md Desa, 26, pada mulanya hanya bekerja di sebuah syarikat pemotongan rumput dengan bayaran harian RM60, namun mula bergerak sendiri selepas menyedari potensi pendapatan yang lebih besar dalam bidang tersebut.

“Pada mulanya saya bekerja di syarikat perkhidmatan pemotongan rumput dengan upah RM60 sehari sebelum bergerak sendiri kerana nampak peluang dapat pendapatan lebih.

“Memang berbaloi kerana saya boleh dapat upah sehingga RM150 sehari,” katanya memetik Harian Metro.

Sebelum menceburi bidang itu, katanya, dia pernah bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam selepas tamat persekolahan, namun hanya bertahan selama tujuh bulan.

“Kebetulan saya dapat tahu ada kerja kosong sebagai pemotong rumput lalu mencubanya walaupun tiada pengalaman pun,” katanya.

Lapor portal itu, syarikat yang ditubuhkan anak muda itu sejak empat tahun lalu kini beroperasi dengan tujuh orang pekerja, terdiri daripada empat rakannya dan tiga warga asing.

“Tak sangka sebenarnya dapat sampai ke tahap ini kerana saya bukan belajar tinggi. Syukur juga kerana dapat bantu keluarga dan beli rumah hasil simpanan sejak jadi pemotong rumput sampai sekarang.

“Saya akan terus berusaha kerana kalau boleh, nak majukan lagi syarikat diusahakan dan buktikan saya juga boleh berjaya,” katanya.

Baca juga: Bella Astillah bahagia kenali Syed Saddiq, sifatkan sebagai lelaki ‘green-flag’ dan baik hati