Berbekalkan sijil sekolah menengah dan semangat kental, Lim Han Weng membuktikan keterbasannya dalam akademik tidak menghalang untuk mengecap kejayaan.
Hari ini, pengasas syarikat pengangkutan ikonik Causeway Link itu tersenarai dalam kelompok 50 individu paling kaya di Malaysia.
Menurut laporan The Straits Times, permulaan kerjaya Lim tidaklah seindah yang disangka.
Beliau pernah memohon pelbagai pekerjaan, termasuk sebagai pramugara, namun kebanyakan permohonannya ditolak.
Peluang sebenar hanya datang apabila beliau diterima sebagai jurujual kereta di syarikat Wearne Brothers dengan gaji RM250 sebulan.
“Unit sewa kecil, pelanggan cerewet, dan sasaran jualan tinggi. Tapi semua itu mengajar saya erti kerja keras dan kesabaran,” katanya mengenang pengalaman awalnya.
Lim kemudiannya menyertai Lori Malaysia, sebuah syarikat logistik yang memberinya pendedahan luas, termasuk tugasan ke pelbagai negeri.
Titik perubahan besar dalam hidupnya hadir apabila beliau ditugaskan ke Johor negeri yang akhirnya menjadi pangkalan empayarnya.
“Saya ingat lagi, ada seorang pemandu beritahu saya, Johor ni lubuk rezeki sebab dekat dengan Singapura. Saya pegang kata-kata tu sampai hari ini,” ujarnya
Dari pengalaman tersebut, Lim menubuhkan Liannex Corporation di Singapura pada 1993. Perniagaan beliau kemudian berkembang ke bidang logistik marin, pengendalian pelabuhan, dan pembekalan bahan binaan.
Baru-baru ini, Liannex mengambil alih Icon Offshore dan menjenamakan semula syarikat tersebut sebagai Lianson Fleet Group. Sehingga 2 Jun lalu, nilai pasaran kumpulan itu mencecah lebih RM670 juta.
Namun, sumbangan Lim yang paling diingati rakyat Malaysia pastinya tertumpu kepada pelancaran Causeway Link pada tahun 2003 iaitu perkhidmatan bas kuning yang menjadi nadi pengangkutan merentasi sempadan Johor-Singapura.
Mengimbas cabaran awal penubuhan syarikat tersebut, Lim berkata: “Permit, kewangan, kakitangan semuanya sukar. Tapi kami tetap teruskan.”
Kini, jenama tersebut diteruskan di bawah HI Mobility, syarikat yang sedang merancang untuk terlibat dalam pengangkutan pintar.
Meski nilai kekayaannya dianggarkan mencecah AS$480 juta (RM2.3 bilion), Lim tetap kekal rendah diri dan terlibat secara langsung dalam operasi harian syarikat, termasuk membaca mesej WhatsApp daripada pengguna mahupun pemimpin negeri seperti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Baca juga: Bukan tak nak mengaku Melayu, Ameera Khan dedah ibu bapa berdarah Arab-Pakistani