Pendirian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Dr Maza berhubung isu berkaitan Islam pada masa ini dilihat berbeza nadanya berbanding ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dr Maza dalam catatan di Facebooknya pada Mei tahun lalu pernah menyatakan; ‘Ramai berasakan di bawah urus tadbir hari ini (kerajaan PH), Islam makin terancam di Malaysia. Apakah pendapat anda?’
Namun, dalam isu wanita berkahwin di India mengikut upacara agama bukan Islam ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN), Dr Maza berkata hendaklah dibahaskan secara ilmiah bukan emosi.
“Kita mesti melihat kes dengan siasatan yang teliti dan berhati-hati. Menghukum kesalahan individu hendaklah setelah mendengar penjelasan dari pihak berkaitan, melainkan pihak terbabit menghalalkan kesalahan dan menyokong penyelewengan,” katanya.
Beliau juga menegaskan penelitian diperlukan untuk menghukum perkahwinan pasangan Illi Najwa Saddique, 27, dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, 28, pada 16 Disember lalu itu sebagai tidak sah.
“Apakah benar hanya itu upacara akad perkahwinan yang mereka lakukan atau telah terdahulu sebelum itu upacara yang lain yang memenuhi syarat yang syarak tetapkan?
“Apakah benar salah satu pasangan tidak menganut Islam? Hal ini perlu kepada semakan dan siasatan sebelum menghukum mana-mana pihak. Berhati-hati itu disuruh oleh agama,” kata Maza.
Sujud penghormatan
Menerusi rakaman video perkahwinan pasangan pengantin kontroversi terbabit, Illi Najwa dan suaminya dilihat menyembah sujud.
Mengulas perlakuan itu, Maza menjelaskan perbuatan sujud kepada selain Allah adalah haram dengan sepakat para ulama dan pelakunya berdosa besar.
“Namun, apakah seseorang itu menjadi kafir dengan perbuatan tersebut?” soalnya.
Mohd Asri berkata, terdapat dua keadaan untuk menjawab persoalan itu.
Pertama, ujarnya, jika seseorang itu sujud kerana ibadah, dalam ertikata mengagungkan yang disujudkan seperti Tuhan maka dia menjadi kafir.
Kedua, jelasnya, jika dia sekadar memberikan penghormatan (tahiyyah) tidak bermaksud ibadah, maka itu tidak menjadikannya kafir.
“Perbuatan itu dilarang dalam syariat Nabi Muhammad S.A.W. Ia diizinkan pada mereka yang terdahulu seperti sujud malaikat kepada Adam (lihat: Surah al-Baqarah ayat 34 dan banyak ayat lain), sujud kaum keluarga Nabi Yusuf kepada baginda semasa berada atas singgahsana kerajaan (lihat: Surah Yusuf ayat 100) dan beberapa peristiwa yang lain.
“Itu semua adalah sujud penghormatan bukan ibadah,” katanya.
Maza menegaskan dalam syariat Nabi Muhammad, perbuatan sujud kepada selain Allah itu haram.
“Namun, untuk menghukum pelakunya menjadi kafir memerlukan penelitian,” kata Mohd Asri lagi.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan semalam pula berkata, Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat.
Menurutnya, tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang ada kemungkinan sahih atau tidak.
“Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu lagi.
Dalam hal berkaitan, sikap agamawan tertentu dan Pas berhubung isu berkaitan Islam termasuk mengecam kerajaan PH sepanjang 22 bulan pentadbiran sebelum ini kononnya tidak membela Islam turut diperkatakan pemimpin PH dan orang ramai.
Antaranya, Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah yang menyifatkan semakin ramai ulama di dalam kerajaan Melayu Islam pada hari ini, semakin kurang kedengaran suara mereka.
“Televisyen India juga menonjolkan acara tersebut dengan mengulangi aksi sembah sujud tersebut empat kali seolah-olah ianya satu kejayaan menarik seorang yang berasal Islam menyertai majlis agama Sikh.
“Adakah ulama-ulama kerajaan Melayu Islam Perikatan Nasional yang begitu ramai akan terus memilih untuk menjadi bisu di tengah-tengah kontroversi yang diperkatakan luas ini?” bidasnya dalam satu kenyataan kelmarin.
Pada 20 Disember lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dilapor berkata, kerajaan masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berhubung status agama Illi Najwa.