Dulu pelakon kini penghantar barang, rupanya ini punca Hafidz Roshdi tukar kerjaya

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, pelakon sensasi iaitu Hafidz Roshdi kini terjun ke bidang perkhidmatan penghantar barangan untuk mencari rezeki.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri, Tundukkan Playboy itu dalam satu perkongsian di ‘Instastory’ miliknya.

Dalam perkongsian itu, Hafidz Roshdi tampil berkongsi keterujaannya bergelar rakan penghantar namun kesal apabila mendapati segelintir pihak malah menghina pekerjaannya.

Lelaki berusia 30 tahun itu bagaimanapun memohon doa dari orang ramai supaya dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus bekerja bagi menampung kehidupan keluarganya.

Jelas pemilik nama sebenar Muhammad Hafidz Roshdi itu, sebahagian pendapatan yang diraih ketika bergelar rakan penghantar akan digunakan untuk membayar nafkah.

“Saya gembira sahaja bekerja dengan Lalamove. Tetapi terbaca ada pihak menghina pekerjaan yang saya lakukan ini. Apa sekalipun, doakan saya terus sihat untuk dapat berkhidmat demi pendapatan yang halal dan nafkah anak-anak,” katanya.

Untuk makluman, Hafidz Roshdi pernah melangsungkan perkahwinan dengan Nurul Shuhada Mat Shukri pada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai pada bulan Februari tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, mereka berdua dikurniakan dengan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar yang kini berusia 4 tahun.

Kemelut rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian ramai setelah Shuhada membuat pendedahan bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Selepas bercerai, Hafidz Roshdi kemudian melangsungkan perkahwinan dengan wanita yang didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya bersama Shuhada iaitu Athira Yuhada.

Nurul Shuhada yang kini bergelar personaliti media sosial kembali menjadi sorotan setelah mendedahkan keculasan Hafidz Roshdi dalam pembayaran nafkah anak-anak mereka.

Oleh kerana Hafidz hanya membayar RM200 sebulan untuk dua anak, ibu bapa Shuhada dikatakan terpaksa mengeluarkan wang bagi membantunya untuk membeli keperluan anak-anak.

Semoga Hafidz Roshdi berjaya dalam bidang baharu yang disertainya agar dapat menyempurnakan tanggungjawab menunaikan nafkah anak-anak.

Baca juga: Sibuk bercinta, pelakon berang bibik abaikan anak, siap doakan keluarga cepat mati lepas ditegur