Durian tersenarai sebagai buah kebangsaan Singapura, cetus perbincangan hangat

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah poster yang memaparkan jenis buah kebangsaan untuk beberapa negara di Asia Tenggara telah berjaya menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, poster yang dikongsikan di akaun Facebook milik ASEAN Skyline itu menyenaraikan durian sebagai buah kebangsaan untuk tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Namun yang menjadi persoalan dalam kalangan rata-rata pengguna Facebook ialah bagaimanakah raja buah tersebut boleh diiktiraf sebagai buah kebangsaan di negara seberang tambak iaitu Singapura itu.

Perkongsian bertajuk ‘Buah Kebangsaan di Asia Tenggara’ itu turut menyenaraikan beberapa buah-buahan tropika yang didakwa sebagai buah kebangsaan buat lapan negara Asia Tenggara.

Berikut adalah senarai lengkap buah-buahan untuk setiap negara mengikut poster berkenaan:

  • Vietnam: Buah Naga
  • Thailand: Buah Manggis
  • Indonesia: Buah Durian
  • Malaysia: Buah Durian atau Betik
  • Myanmar: Buah Belimbing Buluh
  • Singapura: Buah Durian
  • Filipina: Buah Mangga
  • Kemboja: Buah Pisang Telur

Berjaya meraih 5,400 tanda suka dan 1,800 komen, ramai individu turut mempersoalkan kesahihan maklumat yang dikongsikan menerusi poster di dalam hantaran tersebut.

Malah beberapa pelayar Facebook juga meninggalkan komen bertanyakan di mana dusun durian yang terletak di Singapura sehingga disenaraikan sebagai buah kebangsaan di negara berkenaan.

“Sebatang pokok durian pun tiada di Singapura, macam mana boleh jadi buah kebangsaan?,” soal seorang pengguna yang tertanya mengenai kesahihan maklumat itu.

“Buah durian terbaik di Singapura datang daripada dusun di Segamat, Pagoh dan Rauh. Tidak jauh dari stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang terletak di Woodlands.” Kata pengguna lain dalam nada seloroh.

Susulan tularnya perkongsian tersebut, netizen tempatan turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan Malaysia di ruangan komen dengan mengatakan semua buah yang tersenarai boleh didapati di negara ini.

Baca juga: Baru tahu boleh jatuh haram pakai jersi yang ditaja syarikat judi, ini penjelasan ustaz