Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan pasukan itu menerima sejumlah wang RM400 juta untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Beliau menerusi ciapan Twitter berkata, sebaran infografik tentang dakwaan tersebut adalah palsu dan bertujuan mencemarkan imej STFC.
“Sebaran infografik palsu dakwa STFC terima RM400 juta di media sosial oleh individu-individu (adalah) bertujuan mencemar imej (dan) reputasi STFC.
“Kami pandang serius tuduhan tidak berasas dan berniat jahat ini.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” ciapnya yang turut menanda Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.
Pada masa sama, bekas menteri kesihatan itu juga menggesa agar pihak yang bertanggungjawab segera menghentikan sebaran berunsur fitnah itu.
Terdahulu tular satu tangkap layar Facebook yang mendakwa STFC menerima RM400 juta dari kerajaan Selangor untuk mengawal penularan Covid-19.
Tangkap layar itu dikongsi pengguna Twitter Isac Johore yang kemudian mendapat perhatian Dzulkefly.
“Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) diketuai Dr Dzulkefly ditubuhkan pada 10 Mac 2020. RM400 juta kerajaan Selangor beri untuk pasukan ini,” tulis tangkap layar FB yang tidak dapat dipastikan siapa.
Hasil carian di Facebook, ada pihak mendakwa RM400 juta telah diberikan kepada STFC untuk menggempur Covid-19, namun pasukan itu gagal berbuat demikian.