Sistem e-voting yang digunakan oleh PKR dalam pemilihan pelbagai jawatan parti pada 22 September lalu tidak sistematik dan menimbulkan pelbagai masalah.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Wanita Cabang Bayan Baru, Latifah Hussainsa yang turut hadir dalam bantahan 13 cabang PKR yang telah diadakan di Permatang Pauh semalam.
Beliau yang telah menang dalam pemilihan pada Sabtu lalu turut mempertikaikan mengenai sistem e-voting yang digunakan serta melabelkan ia sebagai sistem lapuk yang tidak harus dilaksanakan.
“JPP atau Jawatankuasa Pemilihan Pusat tidak mempunyai urusetia yang cukup dan terlatih untuk mengendalikan sistem e-voting tersebut.
“Terdapat AJK Cabang pula yang digunakan sebagai petugas oleh JPP dalam urusan pengundian sedangkan calon yang bertanding adalah dari cabang yang sama.
“Di Bayan Baru ahli yang telah hadir terpaksa menunggu selama tiga jam baru dapat mengundi kerana sistem tidak dapat diakses dengan baik, ” jelasnya ketika ditemui.
Sementara itu bekas Ketua Cabang Permatang Pauh, Amir Md Ghazali pula turut mempertikaikan sistem yang digunakan dalam pemilihan kerana ia tidak langsung memudahkan pengundian sebaliknya memberi kesulitan yang besar.
“Terdapat gambar calon-calon yang bertanding tidak tertera serta sebahagiannya pula tertera dan menyukarkan mereka untuk mengenali calon-calon yang hendak dipilih.
“Manakala ahli yang sebelum ini ada namanya dalam cabang tiba-tiba namanya lenyap dan berada di cabang yang lain tanpa pengetahuan ahli yang hendak mengundi.
“Sistem e-voting tidak sofistikated kerana orang tua dan warga emas sendiri tidak bijak untuk menggunakan sistem ini, sekaligus dimanipulasi oleh calon-calon yang bertanding, ” tegasnya.
Sementara itu Timbalan Ketua Cabang Bagan, Azman Omar yang memenangi pemilihan kali ini turut mempertikaikan kesahihan keputusan yang diterima.
“Yang pelik dan aneh ada ahli yang namanya tidak terdapat pada senarai pengundi, sedangkan mereka telah lama menjadi ahli.
“Sistem ini banyak menyusahkan ahli dan tidak sepatutnya digunakan dalam pemilihan parti.
“JPP harus bertanggungjawab diatas segala kesulitan yang ditimbulkan sehingga menimbulkan masalah yang amat besar kepada ahli PKR yang membuang undi sehingga menimbulkan pelbagai kecelaruan, ” ujarnya.
Mohd Nor Firdaus Sahabudin yang merupakan calon bagi AJK Cabang Permatang Pauh turut kesal apabila gambar beliau tidak tertera sedangkan gambar calon lain turut dipaparkan sehingga menimbulkan pelbagai keraguan kepada pengundi.
Dalam bantahan yang diadakan semalam, kesemua yang hadir turut menuntut supaya pemilihan semula diadakan dengan menggunakan sistem manual yang lebih mudah dan teratur.
Malah satu memorandum juga akan dihantar kepada Setiausaha Agung mendesak supaya sistem ini tidak diguna pakai dan diadakan pemilihan semula bagi seluruh Pulau Pinang.