Ebby Yus pernah pakai 4 kereta mewah dalam satu masa, terpaksa jual selepas jatuh sakit

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, pelawak dan pelakon veteran iaitu Ebby Yus pernah memiliki empat buah kenderaan mewah di dalam satu masa yang sama suatu ketika dahulu sebelum diuji dengan masalah kesihatan.

Kesemua kereta mewah tersebut bagaimanapun terpaksa dijual satu persatu bagi menampung kos rawatan selepas pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid itu menderita penyakit kronik.

Malah pelakon berusia 60 tahun terbabit turut mengakui terpaksa mengambil keputusan ‘melepaskan’ restoran yang sebelum ini diusahakannya untuk memberi fokus sepenuhnya kepada rawatan tersebut.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ebby menerusi satu sesi audio siar (podcast) yang dikendalikan pempengaruh daripada Singapura iaitu Ahmad Sodiqin Norahim atau Dyn Norahim.

“Dahulu saya pernah pakai empat buah kereta mewah di dalam satu masa yang sama. Namun tidak lama selepas itu, saya mula jatuh sakit. Agak kuat dan kritikal juga. Jadi saya mula jual semuanya.

“Kepala dan fikiran saya pada ketika itu sudah mula fokus kepada kesihatan. Saya pergi berubat di setiap negeri di Malaysia ini daripada Batu Pahat, Johor sehinggalah ke Changlun, Kedah.

“Dengan duit hasil menjual kereta itulah saya gunakan untuk menampung kos rawatan,” kata Ebby Yus dalam sesi podcast tersebut yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan di platform TikTok.

@soutudeen

Full vid ada kat youtube & spotify soutudeen.

♬ original sound – Soutudeen – Soutudeen

Dalam pada itu, pelawak berkenaan turut mendedahkan jumlah wang yang sudah dihabiskan untuk menampung semua kos rawatan selepas ditanya oleh pengendali sesi audio siar ‘Soutudeen’ tersebut.

Pelakon sketsa ‘Jenaka Kampung Kalut’ itu memberitahu sudah membelanjakan wang ratusan ribu ringgit untuk merawat penyakit namun tidak merasa terkilan kerana sudah menganggapnya sebagai pinjaman dari Ilahi.

“Ratusan ribu ringgit jugalah yang sudah saya habiskan. Tetapi kalau kita fikirkan balik, tiada perkara dalam dunia ini adalah milik kita. Isteri, anak dan ibu ayah juga bukan milik kita.

“Allah berikan kepada kita sebagai satu amanah. Namun apabila sampai satu masa, Dia akan ambil semula sebab itu adalah hakNya. Segala kemewahan ketika itu termasuk nyawa saya ini adalah pinjaman dari Allah SWT.” Ujarnya.

Terdahulu, kesihatan Ebby Yus merosot sehingga perlu menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama 17 hari akibat kegagalan buah pinggang sebelum dibenarkan pulang pada bulan Oktober, tahun lalu.

Baca juga: Bukan senang nak dapatkan anak bila PJJ dengan suami, Elizabeth Tan anggap ia satu komitmen