Eda Ezrin dalam keadaan baik, keluarga tunggu keputusan bebas atau tidak minggu depan

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru sahaja nama naik, penyanyi dikir barat Malaysia Eda Ezrin mengejutkan ramai apabila terpalit dalam kes dadah di Thailand.

Sudah lebih empat bulan ditahan di Penjara Narathiwat, keluarga Eda dilihat tidak berputus asa mendoakan kepulangannya semula ke tanah air.

Terbaru, keputusan sama ada pihak pendakwa raya Thailand memfailkan rayuan di Mahkamah Narathiwat berhubung kes dadah membabitkan enam rakyat Malaysia dijangka diketahui minggu hadapan.

Memetik Harian Metro, seorang ahli keluarga terdekat Eda berkongsi perkembangan terkini melalui peguam yang mewakilinya dalam kes tersebut.

“Jika pihak pendakwa tidak memfailkan rayuan terhadap Eda Ezrin dan lima lagi rakyat Malaysia yang lain, kemungkinan besar kes itu akan selesai pada hari yang sama.

“Kesemua enam mereka akan dibebaskan dari Penjara Narathiwat dan dibenarkan pulang ke Malaysia,” kata ahli keluarga itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan keluarga Eda sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru dan berharap proses perundangan berjalan lancar.

“Kami melawat Eda Ezrin beberapa hari lalu, dan dia kelihatan dalam keadaan baik walaupun tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama kami,” katanya.

Media melaporkan penyanyi berusia 30 tahun dan lima lagi rakyat Malaysia termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas tuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan penyalahgunaan dadah pada 14 Januari lalu.

Baca juga: Pemuda jumpa duit berterbangan di LPT Gambang, jumlah lepas kutip cecah RM1,000!