Eda Ezrin tertanya bila nak bebas, berat makin susut lepas 7 bulan di penjara Thailand – Bapa

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah lebih tujuh bulan berlalu, namun penyanyi Eda Ezrin masih meringkuk di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.

Bukan Eda sahaja, malah suaminya dan dua rakan mereka juga masih ditahan, selepas tempoh penahanan dilanjutkan hingga bulan depan.

Bapa kepada Eda, Wan Ismail Wan Yusuf memaklumkan sehingga kini dia masih tidak tahu akan nasib apabila dimaklumkan kes boleh dirujuk ke Mahkamah Agung lapor Harian Metro.

“Sedih, terkilan, reda… Macam-macam dalam fikiran saya bila mengetahui penahanan Eda Ezrin sekali lagi dilanjutkan sehingga bulan depan.

“Selepas bulan depan, kami juga tidak tahu apa nasib Eda Ezrin kerana dimaklumkan kes itu boleh dirujuk ke Mahkamah Agung pula.

“Saya sendiri keliru sedangkan keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu mendapati anak saya serta yang lain tidak bersalah.

“Walaupun sedih, saya terpaksa reda dan akur dengan segala keputusan memandangkan undang-undang di negara sana (Thailand), tidak sama dengan negara kita,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelasnya, bekas isterinya yang sempat bertemu Eda memaklumkan bahawa berat badan penyanyi itu semakin susut.

“Sedih apabila mendengar cerita daripada ibu Eda Ezrin. Bekas isteri juga memaklumkan badan Eda semakin susut.

“Mungkin kerana sudah lebih tujuh bulan di penjara dan sering memikirkan nasib yang menimpa dirinya selain merindukan keluarga.

“Saya sendiri tidak sanggup untuk bertemu anak saya di penjara kerana terlalu sedih memikirkan apa yang berlaku.

“Disebabkan itu hanya bekas isteri yang berjumpa setiap minggu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada saya,” katanya.

Baca juga: “Ayah saya kacak, dia seorang perisik”- Jackie Chan kongsi detik bapa bongkar sejarah hidup