Jika diteliti, industri perfileman Malaysia kini jauh lebih berwarna dan dinamik berbanding dahulu.
Daripada kisah epik pahlawan Melayu, kejerihan hidup masyarakat desa, hinggalah ke dunia animasi futuristik segalanya disajikan untuk memenuhi citarasa penonton pelbagai lapisan.
Disebabkan itu pengarah popular, Syafiq Yusof tidak melihat takhta filem terlaris Malaysia sebagai trofi mutlak milik keluarganya.
Sebaliknya, Syafiq cukup terbuka andai kedudukan itu bertukar tangan meskipun kepada filem animasi seperti Ejen Ali 2.
Menurut Kosmo! Online, Syafiq mengakui gembira dengan naskhah animasi, Ejen Ali 2 yang kini sudah meraih kutipan panggung RM55.1 juta.
“Kalau Ejen Ali 2 dapat potong kutipan kami, itu sesuatu yang bagus. Saya pun tak nak nampak orang sibuk bercakap ‘Syamsul nombor 1, Syafiq nombor 2 atau 3’.
“Ini untuk apa pun, saya tak tahu. Bagi saya yang penting, semua berjaya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Dalam masa sama Syafiq berkongsi kejayaan filem-filem tempatan di panggung jelas membuktikan impak perfileman kepada negara.
“Penting untuk pelabur dan kerajaan nampak industri filem Malaysia tidak boleh lagi ditolak tepi. Filem juga satu benda yang penting,” katanya lagi.
Jika dilihat tiga filem teratas yang dilihat laris sepanjang zaman diungguli keluarga Yusof Haslam.
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) dengan kutipan terbesar sebanyak RM97.42 juta. Filem epik sejarah arahan Syamsul Yusof ini mencatatkan rekod sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Manakala di tangga kedua Blood Brothers: Bara Naga (2025) dengan kutipan RM76 juta. Filem aksi arahan Syafiq Yusof ini mencatatkan kutipan tinggi, menunjukkan potensi besar dalam genre tempatan.
Ketiga adalah Sheriff: Narko Integriti (2024) dengan kutipan seanyak RM63.2 juta. Filem aksi jenayah arahan Syafiq Yusof ini berjaya menarik perhatian penonton dengan jalan cerita yang menarik.
Kini filem animasi tempatan Ejen Ali The Movie 2 telah mencatatkan kutipan sebanyak RM55.1 juta sejak tayangan perdana pada 22 Mei 2025.