Wanita hidap barah mengaku tak bersalah sebar gambar lucah madu, mohon jaminan dikurangkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang ejen pelaburan yang baru diagnosis menghidap barah berhadapan dengan tiga pertuduhan termasuk menyebar dan menyimpan gambar lucah seorang guru iaitu madunya, pada Mac lalu.

Tertuduh, Herni Sofini Omar bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Utman Abd Ghani dan meminta dibicarakan sejurus pertuduhan tersebut dibaca serta diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita berusia 53 tahun itu didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan wanita berusia 45 tahun (pengadu) dengan menyebarkan gambar-gambar lucah melalui kiriman surat. 

Herni didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara untuk pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menyampaikan ugutan jenayah terhadap pengadu sama melalui surat tanpa nama untuk menyembunyikan identitinya pada masa, tempat dan tarikh sama. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun selain hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu oleh Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh pada 27 Mac lalu kira-kira sekitar jam 2 petang di Jalan Meranti 3, Taman Sayang Selasih, Melaka, lapor Berita Harian.

Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didapati memiliki gambar-gambar lucah milik pengadu sama di dalam telefon bimbitnya pada 6 Jun lalu, kira-kira jam 3 pagi di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Untuk pertuduhan tersebut, Herni didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM24,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Baharudin Baharin yang mewakili Herni merayu jumlah itu dikurangkan.

Hal ini kerana anak guamnya itu bekerja sendiri dan perlu menanggung empat anak, tiga masih bersekolah ekoran ditinggalkan suami sejak kes tersebut berlaku selain tiada risiko melarikan diri.

“Anak guam saya juga baru diagnosis menghidap barah dan sudah menjalani pembedahan, pohon jaminan keseluruhan RM4,000,” katanya yang memaklumkan anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan kes.

Mahkamah kemudian benarkan tertuduh dilepaskan sementara selepas membayar jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Baca juga: Menangis tak berhenti, pelakon akui tersentuh dengan nasihat Ustazah Asma’ Harun