Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak termakan dengan provokasi perkauman yang cuba disebarkan melalui pelbagai saluran media ketika ini.
Presidennya Mohamad Sabu berkata, api perkauman sengaja dinyalakan ketika Malaysia dilanda kejatuhan ekonomi, mata wang serta skandal rasuah yang melanda kepimpinan tertinggi negara.
“Keamanan, kestabilan dan keharmonian antara kaum perlu dikekalkan di Malaysia ini.
“Di tengah-tengah kejatuhan ekonomi, mata wang serta skandal rasuah yang melanda kepimpinan tertinggi negara, isu survival kaum sememangnya sudah dijangka akan ditiupkan dan dinyalakan semata-mata untuk memenuhi hasrat beberapa individu berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikain mengulas mengenai insiden pergaduhan di kompleks beli-belah Kota Raya, Kuala Lumpur kelmarin.
Kejadian berlaku apabila beberapa individu cuba menuntut bayaran dalam kes jual beli telefon bimbit.
Mohamad juga berharap pihak polis dapat bertindak segera memadamkan tiupan api perkauman ini tanpa memilih bulu, atau prejudis kepada mana-mana pihak.
“Pihak polis bertindak ‘without fear or favour’ dalam usaha mengekalkan keamanan negara.
“Sikap memihak kepada pihak tertentu sahaja, tidak menjamin keamanan akan dapat dikawal sebaiknya.
“Saya yakin kewibawaan pihak polis untuk bertindak dan mengawal keamanan negara dengan peruntukan undang-undang sedia ada. Yang penting, perlu amanah dan bertanggungjawab dalam melakukan tugas,” katanya.
Beliau juga mendoakan rakyat Malaysia terus berada dalam suasana aman dan tenteram terutamanya menjelang tahun baharu dan beberapa perayaan yang akan dilalui pada penghujung tahun ini.