Emma Maembong beraya bersama bekas suami, jaga hubungan baik demi anak-anak

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Emma Maembong tetap akan beraya bersama bekas suami iaitu Muhammad Shazli Azhar demi anak-anak meskipun mereka sudah berpisah dan membawa haluan masing-masing pada tahun lalu.

Hal kerana pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu mahu memastikan agar kedua-dua anak mereka tidak merasakan sebarang perubahan mahupun kekurangan di dalam kehidupan keluarga mereka.

Jelas pelakon berusia 33 tahun terbabit, dirinya akan tetap berusaha untuk menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sebagai detik istimewa terutamanya buat anak-anak meskipun situasinya sedikit berbeza.

Memetik laporan Oh Bulan, Emma memberitahu bahawa dirinya akan membawa anak-anak lelakinya berkunjung ke kediaman Shazli Azhar untuk beraya bersama di belah pagi terlebih dahulu.

“Tahun ini raya berbeza sedikit sebab mula-mula, beraya dengan keluarga. Selepas itu, ada keluarga sendiri dan sekarang kembali beraya dengan keluarga. Tetapi apa yang pasti, tahun ini saya beraya untuk anak-anak.

“Mereka sudah semakin membesar dan tahu nak minta duit dan baju raya. Untuk raya tahun ini, saya akan bawa anak-anak beraya di rumah bekas suami di sebelah pagi. Selepas itu dia, pula akan ikut beraya di rumah kami,” katanya.

Pelakon drama bersiri Seribu Tahun itu turut menegaskan hubungannya dengan bekas suami tetap terjalin dengan rapat selepas mereka berdua berpisah malah sentiasa berkomunikasi melibatkan urusan anak-anak.

Jelas Emma lagi, mereka sudah berpakat sejak awal lagi untuk mengekalkan hubungan baik demi kebahagiaan anak-anak walaupun rumah tangga yang dibina tidak kekal sehingga ke syurga.

“Agak sedih sebab ada rasa perbezaan raya itu. Tetapi tak rasa janggal sangat sebab hubungan saya dengan bekas suami tetap rapat. Kami tiada apa-apa masalah sehingga tidak berhubung dan sebagainya.

“Kami juga ada berjumpa sebelum ni untuk beli baju raya anak-anak. Sebelum ini, saya pernahlah bercakap dengan bekas suami. Walau apa-apa pun yang terjadi kelak dan sekiranya hubungan perkahwinan kita tak kekal.

“Kita tetap kena ambil gambar keluarga. Setiap tahun akan ada gambar bersama supaya anak-anak tahu, tiada apa yang berubah,” kata pelakon jelita yang berdarah kacukan Melayu dan Scotland itu.

Difahamkan, keputusan sedemikian diambil oleh Emma memandangkan dirinya sendiri juga datang dari keluarga yang ibu bapanya bercerai selain tidak memiliki peluang untuk mengambil gambar sebagai satu keluarga lengkap.

Emma yang memahami kepentingan menjaga emosi anak-anak itu turut berkongsi pengalaman peribadinya di dalam memenuhi hasrat tersebut sehinggalah sanggup melukis sendiri gambar keluarga ‘sempurna’.

“Saya datang dari keluarga yang ibu bapanya juga bercerai. Jadi saya tahu perasaan itu macam mana. Pernah sekali, saya sampai terpaksa lukis sendiri gambar kami sekeluarga bersama.

“Hal ini kerana saya tidak pernah berpeluang bergambar satu keluarga lengkap. Saya faham perasaan bagaimana seorang anak inginkan sebuah keluarga yang sempurna.” Kongsi pelakon terbabit.

Baca juga: Hampir buta kerana bunga api, Nadeera nasihatkan ibu bapa pantau anak