Umno dan PAS hanya boleh bekerjasama dengan mengambil pendekatan untuk menjaga kesejahteraan rakyat, mengatasi tekanan hidup rakyat dan perkemaskan dasar-dasar yang menekan rakyat, demikian pandangan penganalisis politik,Prof Datuk Dr. Mohammad Agus Yusuff.
Beliau yang juga Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata, jika itu dapat dilaksanakan beliau yakin orang Melayu boleh menerima kerjasama Umno-PAS.
“Selepas itu, angkatlah perubahan yang dibuat itu sebagai hasil dari kerjasama Umno-PAS.
Jika ini dapat dilakukan, saya yakin orang Melayu boleh menerima kerjasama Umno-PAS dengan senang hati.
“Ini kerana makna kerjasama Umno-PAS dalam hati rakyat adalah apabila pemimpin boleh menjaga kesejahteraan hidup mereka,” ujar beliau dalam status yang dimuat naiknya di facebook pagi ini.
Soal beliau lagi, bolehkah Umno-PAS bekerjasama? Justeru katanya walaupun ramai yang berpandangan dua parti itu boleh bekerjasama tetapi Mohamad Agus berkata ia boleh dilakukan tetapi agak sukar.
“Mengapa sukar?
“Pertama, kedua-dua parti ini ada kesilapan politik masing-masing. PAS ada kesilapan dengan Amanatnya di Banggol Paradong yang memecahkan umat Melayu dan Islam. Umno ada kesilapannya di Memali yang juga memecahkan umat Melayu dan Islam. Luka dari dua kesilapan ini, jikapun telah sembuh, meninggalkan kesan parut besar yang payah dihilangkan.
“Kedua, parti ini berbeza ideologi. Hudud adalah perjuangan utama PAS. Jadi, sekiranya kerjasama ini hendak berjaya, UMNO perlulah memenuhi syarat ‘hudud’ PAS. Saya tidak yakin parti-parti komponen bukan Islam dalam BN boleh bersetuju dengan ‘syarat hudud’ PAS ini.
“Ketiga, arah tuju kerjasama ini tidak jelas. Adakah ini sekadar kerjasama dalam hal-hal tertentu sahaja atau kedua-dua parti ini hendak bergabung? Pemimpin Umno dan PAS tidak tegas dalam hal ini menyebabkan penyokong kedua-dua parti ini keliru tentang arah tuju kerjasama ini.
“Keempat, masih ramai ahli dan pemimpin kedua-dua parti yang tidak menyokong idea kerjasama ini,” jelasnya.