Seorang bapa sanggup menawarkan ganjaran kepada mana-mana individu yang berjaya menemukan patung Hello Kitty hilang milik anaknya.
Bapa dikenali sebagai Aliff Zaki itu berkata, patung tersebut memiliki nilai sentimental tersendiri kerana sudah ‘menemani’ anaknya kira-kira sejak empat tahun yang lalu.
Berkongsi hebahan tersebut di platform X, Aliff memaklumkan lokasi terakhir patung ‘busuk’ berkenaan dilihat adalah di sebuah inap desa terletak di Kuala Terengganu.
“Siapa-siapa terjumpa patung Hello Kitty anak saya, lokasi terakhir di Homestay Pak Usop dekat Kuala Terengganu. Sudah minta pemilik carikan, tetapi tak jumpa. Kalau ada sesiapa terjumpa di kawasan Kuala Terengganu, hubungi saya.
“Patung Hello Kitty ini sudah berada dengan anak saya sejak daripada lahir sampai sekarang usianya empat tahun. Ini adalah mengenai nilai sentimental dan baunya. Ganjaran RM200 (akan diberi).
“Keadaan terakhir (Hello Kitty), reben berwarna merah di kepala dan tali sudah tiada. Sedikit lebih kecut dari dalam gambar sebab di ditangkap setahun lepas. Maaf Airis, daddy sudah cari merata tempat tak jumpa,” ciapnya.
Namun siapa sangka, patung itu akhirnya dijumpai juga oleh salah seorang tetamu yang menginap di inap desa sama selepas dua minggu kejadian tersebut berlaku.
Aliff turut memuat naik gambar merakamkan pertemuan anaknya dengan patung Hello Kitty berkenaan bersama bukti pemberian ganjaran kepada individu yang menemukannya.
Berdasarkan perkongsian gambar tersebut, wajah anak perempuan Aliff kelihatan begitu terharu apabila dapat beejumpa dan memeluk semula patung kesayangannya.
“Perkembangan terbaharu, Hello Kitty itu sudah dijumpai oleh salah seorang tetamu di inap desa berkenaan. Selepas dua minggu hilang tanpa jaminan akan jumpa balik, Tuhan izinkan pertemuan semula ini.
“Nak nangis rasanya ketika terima DM (pesanan secara terus) bertanyakan, ‘inikah Kitty yang dicari itu?’. Seperti yang dijanjikan, ganjaran RM 200 diberi kepada orang yang jumpa. Alhamdulillah.” Kongsinya.
Meskipun patung tersebut tampak sedikit kotor, namun kanak-kanak terbabit seperti tidak ingin melepaskan pelukan dengan patung kesayangnya untuk mengubat rindu.
Baca juga: Ibu dakwa jumpa ketulan jijik dalam air kotak, bersyukur anak tak habiskan minuman