Pemilihan tiga jawatan Naib Presiden MIC petang ini menyaksikan persaingan sengit dengan enam calon merebut jawatan tersebut bagi penggal 2021 hingga 2024.
Enam calon yang bertanding kerusi Naib Presiden parti yang berusia 75 tahun itu ialah tiga penyandang terdiri daripada Datuk T Mohan, Datuk C Sivaraajh dan Datuk T Murugiah.
Tiga lagi turut ke gelanggang pemilihan iaitu Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan, Setiausaha Eksekutif A K Ramalingam dan Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan.
Dalam masa sama, 60 calon lagi merebut 21 ahli CWC pada pemilihan kali ini termasuk bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan; bekas setiausaha parti, Datuk Sakthivel Alagapan; bekas Ketua Pemuda MIC, Thinalan Rajagopal dan Datuk N Muneandy.
Lebih 20,000 perwakilan MIC daripada 140 bahagian seluruh negara akan mengundi di pejabat MIC dan dewan serbaguna seluruh negara.
Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan, berkata proses pengundian akan bermula pada jam 4 petang ini dan dijangka berakhir pada jam 7 malam.
Lazimnya, pemilihan barisan kepimpinan tertinggi pusat parti itu diadakan serentak dengan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM), namun pada tahun ini ia diadakan secara berasingan.
Terdahulu, Tan Sri S A Vigneswaran dan Datuk Seri M Saravanan masing-masing berjaya mempertahankan jawatan mereka sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan berkenaan tanpa bertanding.