Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat yang dijangka melanda Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.
JPS dalam satu kenyataan mengesahkan terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.

Ini diambil berdasarkan maklumat ramalan hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Falsh Flood Guidance System (SAOFGGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia.
Dalam kenyataan itu, banjir di Johor melibatkan Kota Tinggi, Mersing, Muar dan Tangkak serta dua daerah di Melaka iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah.
“Ramalan banjir kilat itu juga dijangka tertumpu sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Bagi negeri Perak pula, melibatkan daerah Batang Padang, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kerian.
“Keadaan sama juga berisiko berlaku di Selangor (Sepang, Petaling dan Kuala Selangor) serta seluruh Kuala Lumpur,” jelasnya.