Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak memfailkan enam rayuan pada 8 dan 15 Disember lepas, berhubung sabitan serta hukuman diputuskan terhadap pemimpin Umno itu dalam kes seleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata rayuan tersebut dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan dan ia termasuk isu penolakan bukti serta keterangan baharu dalam kes berkenaan.
“Kita ada desas-desus, keterangan lanjut yang kita mendapat tahu dan dikejutkan tidak diberitahu mana-mana pihak mahupun pendakwaan, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan sekarang kita dapat tahu.
“Yang itu kita akan masukkan (dalam rayuan) untuk permohonan keterangan lanjut dan baharu. Perkara ini tidak boleh diberitahu sekarang kerana kita mahu sahkan dulu sebab kalau tidak, kita cakap atas ‘angin’ (dakwaan) saja.
“Kita harap dalam dua bulan ini (keterangan baharu difailkan). Insya-Allah, akan dapat dalam jangka masa itu,” katanya.
Shafee berkata demikian pada sidang media secara maya, hari ini.
Minggu lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan terhadap Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana berkenaan selepas menolak rayuannya.
Hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini dikekalkan atas alasan wajar dan bersesuaian.