Enggan bawa usul percaya adalah penentangan terbuka terhadap titah Agong

Oleh KIM SYAZIE

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diingatkan bahawa tindakannya yang tidak memasukkan usul undi percaya dalam urusan Majlis pada sidang Parlimen September nanti adalah tidak berpelembagaan.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengingatkan semula bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu telah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.

Justeru katanya, kegagalan Ismail untuk melakukannya akan menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan yang disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja.

“(Ini) akan menjadi permulaan yang tidak baik kepada kepimpinannya sebagai Perdana Menteri.

“Perlu diingatkan, Ismail tidak patut lupa apa yang terjadi kepada Perdana Menteri sebelumnya yang dilihat tidak taat secara terbuka sehingga menimbulkan rasa dukacita Tuanku.

“DAP tidak faham mengapa Ismail enggan mengemukakan usul undi percaya ketika Yang di-Pertuan Agong telah mengumumkan bahawa Ismail memenangi sokongan 114 Ahli Parlimen dan di tengah perbincangan bersama pembangkang untuk fokus memerangi wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, keengganan Ismail mungkin kerana tidak yakin dengan sokongan penuh daripada Ahli Parlimen kerajaan.

Beliau kemudian memberi amaran keras kepada Ismail bahawa sebarang kegagalan untuk membentangkan undi percaya dan menentang titah Yang di-Pertuan Agong, akan merosakkan kredibiliti dan kepercayaan terhadap dirinya.

Tambahnya, ini akan memberi kesan yang serius terhadap kemampuan Ismail sebagai Perdana Menteri untuk memimpin negara memerangi pandemik Covid-19 dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan.