Siapa sangka, seorang suami tergamak mengelarkan isteri sendiri ‘ahli neraka’ hanya kerana wanita terbabit enggan menyerahkan anak sulung mereka untuk dipelihara oleh ahli keluarga lain.
Lebih memburukkan keadaan, kejadian itu berlaku ketika wanita terbabit belum melahirkan sebaliknya masih lagi mengandungkan anak yang terlibat di dalam ‘perjanjian’ sebelah pihak tersebut.
Perjanjian tersebut difahamkan dilakukan antara suami wanita berkenaan dengan kakaknya iaitu iparnya tanpa meminta sebarang persetujuan daripada sang ibu yang sedang sarat hamil enam bulan itu.
Kejadian dipercayai berpunca daripada hasil pemeriksaan yang mendapati suami kepada kakak iparnya itu mandul sekali gus menghancurkan peluang untuk menimang cahaya mata sendiri.
“Aku lagi tiga bulan nak melahirkan cahaya mata sulung. Tetapi suami aku sudah buat perjanjian dengan kakak dia. Suami nak serahkan anak sulung kami kepada kakak ipar sebab suaminya telah disahkan mandul.
“Pengesahan mandul dibuat selepas mereka melakukan pemeriksaan di sebuah klinik,” kongsi isteri yang sedang hamil itu meluahkan kekesalan hatinya menerusi platform media sosial.
Perkongsian itu dibuat oleh wanita berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.
Dalam perkongsian yang sama, wanita terbabit juga turut mendedahkan tujuannya memuat naik hantaran itu iaitu untuk bertanyakan tindakan susulan berhubung masalah kini dihadapinya.
“Adakah aku dikira isteri derhaka ke kalau meminta cerai? Suami siap cakap aku ini tak sedar diuntung, ahli neraka.” Kesal wanita terbabit yang belum membuat keputusan dalam menentukan masa depan rumah tangganya.

Baca juga: Tak sabar nak kahwin baru, ibu tunggal tergamak tinggal anak sendiri di rumah kebajikan