Pelakon dan pelawak, Enot menafikan dakwaan bahawa dirinya melakukan pembedahan bariatrik hanya untuk mendapatkan tubuh badan langsing serta berat badan yang ideal.
Pemilik nama sebenar Aliza Abdullah itu sebaliknya mengakui sudah tidak mengambil nasi selama setahun, menolak gula dalam pemakanannya dan mengamalkan senaman.
Wanita berusia 46 tahun itu juga tidak boleh melakukan pembedahan melibatkan bahagian perut kerana berisiko hingga mengancam nyawa berikutan pernah menghidap kanser usus.
“Saya hanya ambil gula titik (pemanis tanpa kalori). Kalau minum kopi saya buat tanpa gula, kopi pahit atau kopi O. Nasi juga saya tak ambil dan kalau ikutkan betul-betul, tak makan nasi adalah setahun.
“Saya bekas pesakit kanser usus. Usus saya tak boleh usik langsung. Bermakna saya tempah mautlah kalau potong usus. Saya diminta menurunkan berat badan kerana mempunyai masalah sakit tulang belakang dan lutut.
“Tetapi kena turunkan secara natural. Jadi saya amalkan senaman ‘sit up’ sebanyak 100 kali sebelum tidur, 100 kali selepas bangun. Saya suka membaca dan mengamalkan pengambilan jus termasuk lemon serta nanas.
“Buah-buah ini dikisar sendiri untuk penghasilan jus bagi membuang angin dalam badan,” katanya dalam satu perkongsian yang dimuat naik di platform di Instagram baru-baru ini.
Oleh kerana berat badannya berjaya turun ke 75 kilogram (kg) berbanding hampir mencecah 100 kg sebelum ini, Enot merasakan segelintir pihak bertindak menyebarkan fitnah selepas melihat keadaan fizikal terkininya.
Dalam perkongsian tersebut, Enot juga memaklumkan bahawa dirinya tidak mempu dari segi kewangan untuk menjalani pembedahan bariatrik dan dakwaan sedemikian dilemparkan tanpa bertanya terlebih dahulu.
“Dahulu saya pernah kurus, tetapi masa zaman sekolah. Itulah mereka cuma tahu asalkan kurus sahaja, mesti potong usus. Mereka tahu menfitnah tanpa bertanya. Banyak sangatlah duit saya nak potong usus (bariatrik).
“Hari itu masa bedah lutut pun saya minta bantuan orang. Kelakar.” Jelas pelakon yang sebelum ini mengejutkan banyak pihak selepas berkongsi gambar terbaharu yang memaparkan perubahan fizikal ketara apabila semakin langsing.
Baca juga: Minah Saleh borong 28kg jajan dari Malaysia untuk dibawa pulang ke negaranya