Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kelulusan tanah untuk projek pertanian di kawasan bukit di Cameron Highlands ditangguhkan kelulusannya buat sementara.
Titah baginda, semua projek membabitkan pertanian dan penternakan, sama ada yang telah atau akan diberikan kelulusan membabitkan kawasan tanah tinggi itu perlu dikaji semula.
Baginda tidak mahu kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu dan insiden banjir lumpur di Kampung Raja, Cameron Highlands, berulang kembali.
“Buat kajian semula dan kalau perlu, ditangguhkan semua kelulusan (projek) di bukit-bukit yang tinggi di kawasan daerah Cameron Highlands buat sementara ini.
“Ini saranan saya, ini titah saya. ‘Enough is enough (cukup-cukuplah)’. Saya dah cakap dulu dan sekarang tidak perlu ada lagi illegal cultivation, walaupun ada, kelulusan perlu dikaji semula. Kalau tidak mungkin kawasan ini akan jadi kawasan botak,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas mendengar taklimat solusi banjir lumpur Kampung Baru, Kampung Raja dekat sini disampaikan Pegawai Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman pada semalam.
Dalam titah berkenaan, Seri Paduka turut menasihatkan baik menteri besar mahupun pegawai daerah dan tanah perlu turun padang melakukan tinjauan dan menggunakan segala teknologi moden yang ada bagi mendapatkan penilaian terbaik sebelum kelulusan diberikan.
“Jangan sekadar beri kelulusan tanpa melihat mana bukit, mana tanah, ada ke anak-anak sungai dan mata air.
“Kalau duduk di pejabat daerah tak nampak mata air di Kampung Raja ataupun di Kampung Terlak. Kena turun padang, kena lihat sendiri. Jangan berdasar kepada peta saja,” titah baginda.