Exco Pas digesa guna Mercedes bawa orang cucuk vaksin

Oleh ARIF ATAN

Seorang pakar perubatan menempelak kerajaan negeri Kelantan yang diterajui Pas susulan ketidakhadiran seramai 10,000 penduduk untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin menegaskan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan mesti mengatur program pendaftaran vaksin secepat mungkin.

“Daftar macam ghairah bila daftar pengundi Pas! Pandu mereka ke Pusat Vaksin (PPV) macam pandu pengundi ke pusat undi.

“(Ada) Kereta baru Mercedes ‘kan?” sinisnya merujuk kepada langkah kerajaan Kelantan membeli kereta Mercedes Benz untuk kegunaan rasmi pimpinan negeri.

Untuk rekod, kerajaan negeri Kelantan membelanjakan RM3.5 juta untuk pembelian kereta rasmi yang mana untuk Menteri Besar harganya adalah RM320,000 manakala bagi exco dan barisan kepemimpinan yang lain adalah RM200,000.

Pembelian kereta yang dibuat daripada lebihan (surplus) perbelanjaan dilakukan berperingkat-peringkat sejak 2018 dengan kereta terakhir diterima adalah untuk kegunaan Menteri Besar pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Musa sekali lagi menempelak kerajaan Pas Kelantan agar tidak berceramah sahaja sebaliknya agresif dalam menjayakan program vaksinasi dalam kalangan penduduk.

“Jangan ceramah saja! Buat kerja sikit! Gaji Exco pun dah melambung naik ‘kan?” katanya di Twitter berserta tanda pagar #PasGagal.

Dalam hal berkaitan, Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Kelantan menggesa kerajaan negeri untuk segera melaksanakan ujian saringan Covid-19 serta membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19.

Untuk rekod, Kelantan setakat semalam merekodkan jumlah keseluruhan positif Covid-19 sebanyak 22,997 kes iaitu di tangga kelapan tertinggi di negara ini.

Sebanyak 57 kluster aktif di Kelantan dengan pertambahan lagi satu kluster iaitu Kluster Pangkal Payung melibatkan daerah Machang, Kota Bharu dan Tanah Merah dengan kes indeks mempunyai sejarah menghadiri majlis sambutan perayaan di Kuala Krai.