Tindakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu, Hanafiah Mat memperlekeh Menu Rahmah dengan mempersoal kuantiti makanan menerima kecaman warganet.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok @hajihanafiahmat, Adun Chukai itu dilihat menuang air oren ke dalam nasi berlauk ikan dan sayur hanya kerana tiada kuah.
“Ikan seekor, sayur dua butir (sikit), kuah tak ada kita letak air oren. Baru rasa nasi sikit,” katanya dalam video tersebut.
Bagaimanapun, video tersebut dipercayai telah dipadam namun sempat dimuat naik warganet di Twitter yang marah dengan tindakan Hanafiah.
“Niatnya nak mencela Menu Rahmah tapi tanpa disedari telah mencela rezeki Allah,” tulis ciapan @faktabukanauta.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar tindakan Hanafiah yang dilihat merendahkan martabat orang susah di Twitter.
“Ramai orang susah mendapat manfaat dari Menu Rahmah. Bukan semua bergaji besar seperti Exco dan boleh makan di tempat yang mewah.
“Kalau tidak setuju pun, tiada keperluan untuk merendahkan martabat orang susah dengan meremehkan makanan mereka. Memalukan,” ujarnya.
Pada masa sama, warganet mempertikai video yang dibuat selepas sudah hampir separuh makanan dimakan.
“Dah bantai (habiskan) pinggan dah nak licin, ikan pun dah nak habis, baru nak mengadu pasal kuah,” komen @mizzusomething.
“Mungkin dia tak pernah miskin, susah. Kalau pernah rasa sekalipun mungkin sudah lupa daratan. Haji tapi perangai,” tambah pengguna Twitter.