‘Tamat tempoh’ dan ‘sakit’ antara nama pelik dalam senarai pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hairannya, dua nama pelik itu tersenarai dalam daftar pemilih yang telah disahkan dan boleh diakses jika semakan dibuat menerusi laman sesawang SPR menggunakan nombor kad pengenalan tertera.
Pengarah Pilihanraya Pusat PKR, Fuziah Salleh memberitahu nama-nama yang pelik dalam Daftar Pemilih Tambahan (DPT) sehingga Disember 2021 (DPT BLN12/2021) terbukti wujud apabila ia tidak dipamerkan kali ini.
Sebulan selepas DPT itu diwartakan, katanya, SPR sehingga kini masih belum bersedia membekalkan senarai daftar tersebut kepada pihak yang ingin membeli.
“Apakah alasan sebenar kegagalan tersebut? Adakah ianya disebabkan data berikut terdapat kesalahan atau ia disebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? Atau apa sebenarnya?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan berkenaan berkata, berkali- kali pihak unit data Pakatan Harapan (PH) tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 dengan pelbagai alasan.
“Saya terima aduan pelbagai dari unit data parti-parti PH berkenaan data yang pelik-pelik
sebagai nama pengundi. Seperti ‘Deceased’ dan ‘Expired’ sebagai nama pemilih.
“Maka saya sendiri membuat semakan pemilih di laman web SPR menggunakan sampel no kad
pengenalan dari DPT tersebut. Ternyata aduan tersebut adalah benar,” katanya.
Fuziah berkata, SPR sebelum ini menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan setiap suku tahun yang dipamerkan kepada awam.
Jelasnya, senarai daftar pemilih itu dibekalkan secara percuma untuk disemak oleh parti-parti politik dan individu membuat bantahan sebelum SPR mewartakan daftar pemilih tambahan tersebut.
“Akan tetapi amalan tersebut kini tidak lagi diteruskan. Dan Daftar Pemilih Tambahan terpaksa dibeli oleh parti politik dengan kos yang mahal.
“Parti politik tidak lagi dibenarkan menyemak kesahihan daftar tambahan dalam bentuk rang yang dipamerkan.
“Ianya kini dipaksa untuk kami terima dan dipaksa pula untuk kami beli dengan harga yang mahal untuk tujuan menyemak.
“Nah, ternyata apabila ianya tidak dipamerkan kali ini, terdapat pula nama-nama yang pelik
dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember 2021,” tegasnya.
Sehubungan itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan menggesa SPR untuk membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang telah pun diwartakan itu.
“Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi, tetapi dikhuatiri kesahihannya?
“Dan adakah Pilihanraya Negeri Johor yang akan berlangsung pada 12hb Mac 2022 akan dikompromi keputusannya kerana terdapat ‘irregularities’ pada daftar pemilih yang telah diwartakan?” kata Fuziah lagi.