Laman Facebook Istana Negara malam tadi dihujani ratusan komen pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan bagi membenarkan pengeluaran bersasar sekali lagi dana itu.
Ribuan komen meminta pengeluaran tersebut dengan harapan mesej sampai kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam satu tindakan terdesak, mereka memohon supaya Seri Paduka dapat melakukan sesuatu supaya pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar dibenarkan oleh kerajaan.
Pencarum juga merayu agar pengeluaran KWSP dapat dilakukan sebelum penggal persekolahan 2023 dibuka bulan depan.
“Ampun tuanku. Mohon campur tangan dalam hal kelulusan #KWSPBERSASAR #PENGELUARANKECEMASAN dengar segera kerana rakyat sedang mengemis di negara sendiri tuanku,” antara komen popular yang ditinggal berulang kali.
“Ampun tuanku mohon nasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar luluskan #kwspbersasar #pengeluarankecemasan buat kali terakhir untuk kelangsungan hidup kami hamba rakyat tuanku,” mohon pencarum lain.

Terdahulu Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan memberitahu seramai 8.1 juta pencarum sudah mengeluarkan wang KWSP dalam 4 siri pengeluaran lalu yang berjumlah sebanyak RM145 bilion.
Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh membenarkan lagi pengeluaran wang persaraan rakyat.
Median simpanan ahli KWSP bagi semua kaum juga dilaporkan turun 50 peratus kepada RM8,100 pada 2022 daripada RM16,600 pada tahun sebelum pandemik Covid-19.
Baca juga: Dr Malar hairan kenapa semua penyakit mahu dikaitkan dengan makanan