Fahamkah Najib wasatiyyah dan ekstremisme? soal Ahmad Awang

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kerap mengingatkan rakyat tentang pentingnya amalan wasatiyyah (bersederhana) walaupun Presiden Umno itu sendiri masih belum terbukti untuk bersederhana sepanjang pentadbirannya sejak tahun 2009, kata Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah), Ustaz Ahmad Awang.

Beliau berkata, masih banyak berlaku ketidakadilan serta melampaui batas dalam pelbagai aspek politik, sosial dan ekonomi sekaligus bercanggah dengan konsep kesederhanaan mengikut Islam.

“Asas Islam adalah rahmat untuk semua bahkan terhadap musuh pun mesti bersikap adil kerana sikap adil menghampiri kepada ketakwaan. Jadi, kalau kerajaan bercakap tentang wassatiyyah konon perlunya bersederhana tetapi praktiknya berbeza, itu cakap tidak serupa bikin.

“Buktikan dalam pemerintahan, proses pilihan raya, undang-undang serta pengagihan ekonomi. Jangan hanya wasatiyyah diguna untuk kepentingan diri supaya mudah ambil tindakan ke atas pihak yang tidak sehaluan dengan dia,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas Program Kicau Deeni di Restoran Amjal dekat Universiti Malaya (UM), Sabtu lalu.

Mengulas kekerapan Najib yang turut mendakwa wujudnya ancaman keganasan di negara ini ketika Amerika Syarikat turut bercakap tentang ekstremisme global, beliau berkata, Malaysia perlu berhati-hati dalam memberi takrifan berkenaan gejala tersebut.

“Isu ekstremisme sudah lama diguna pihak Barat. Bezakan ekstremisme sebenar dengan rekaan. Apabila berlaku peristiwa 11 September 2001, terrorisme kemudian dikaitkan dengan Osama Laden dan pertubuhan al-Qaeda.

“Sekarang ini pula lahir IS. Di sinilah kita harus berhati-hati untuk mengenal pasti antara ekstremisme sebenar yang sememangnya Islam tidak terima dengan keganasaan yang direka oleh dunia Barat,” jelas bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia itu.

Menurut beliau, pihak Barat pada masa lalu cenderung mengaitkan ekstremisme dengan fahaman fundamentalisme sekaligus memberi gambaran buruk terhadap pegangan penganut Islam terhadap prinsip-prinsip agama.

“Di sinilah persoalannya, sejauhmana Perdana Menteri kita faham tentang ancaman ekstremisme yang sebenar bukan bercakap senada dengan Barat.

“Apapun, benar kita mesti menolak sebarang bentuk keganasan hatta konon atas nama Islam termasuk gejala takfirisme yang memanipulasi Islam bagi menjustifikasikan tindakan kekerasan terhadap orang yang tidak sealiran. IS sekarang ini adalah fenomena bahaya takfir yang sebelum ini memang gerakan itu wujud di Timur Tengah.

“Di sinilah kita perlu bezakan. Ekstremisme yang sebenar memang bercanggah dengan Islam. Disebut dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 143 tentang umat pilihan lagi adil bahkan juga dalam surah al-Imran pula tentang ciri sebaik-baik umat.

“Antaranya, bersikap adil, saksama tidak bersikap keras, kejam sedangkan mereka yang mendakwa gerakan Islam itu bertindak ganas, zalim, bunuh. Islam jelas menolak kejahatan tersebut,” tambahnya lagi yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama dan Naib Presiden Pas itu.