Pelakon, Fattah Amin menafikan dua jambangan bunga yang dihadiahkan kepada penyanyi iaitu Amira Othman ketika melawat wanita itu di hospital membawa makna tersirat.
Hal ini berikutan peminat mendakwa pemilihan jenis dan warna bunga yang diberikan oleh pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin itu mempunyai tafsiran tertentu mengenai hubungannya dengan Amira.
Walaupun pelakon berusia 35 tahun itu terhibur dengan kelakuan para peminat, namun dirinya tidak menyangka mereka sebegitu prihatin sehingga memerhatikan jenis dan warna bunga pilihannya, lapor Mstar.
Fattah bagaimanapun menghargai usaha mereka dalam mencari maksud tersirat di sebalik pemilihan bunga tulip dan mawar yang dihadiahkan ketika Amira dirawat di hospital akibat keracunan makanan.
“Saya tidak tahu menahu mengenai maksud bunga yang dihadiahkan. Semua itu adalah kerja peminat. Bunga tulip dan mawar yang saya hadiahkan tidak membawa maksud apa-apa.
“Tetapi saya hargai usaha peminat yang sanggup mencari maksud di sebalik jenis bunga termasuk pemilihan warna. Saya tak sangka mereka begitu prihatin sehinggakan saya sendiri pun rasa terhibur,” katanya memetik laporan Mstar.
Aktor yang mula meraih populariti menerusi lakonannya dalam drama Playboy Itu Suami Aku turut memberikan penjelasan mengenai niat sebenarnya menghadiahkan bunga selama dua hari berturut-turut kepada Amira.
Menurut Fattah, pemberian kedua-dua jambangan bunga itu adalah sekadar tanda prihatin terhadap ‘rakan sekerja’ yang sedang menerima rawatan di hospital malah mereka berdua juga masih ada projek bersama.
“Saya hanya prihatin dengan apa yang berlaku. Lagipun kami berdua masih ada projek bersama. Jadi apabila dia tidak sihat, sedikit sebanyak turut memberi impak kepada saya.
“Sudah tentu saya akan ambil tahu, lebih-lebih lagi apabila rakan sekerja yang jatuh sakit,” jelas Fattah ketika ditemui media dalam majlis pelantikannya sebagai duta produk minuman tenaga.
Dalam pada itu, Fattah mengaku ibunya turut mengambil peluang melawat untuk Amira di hospital berikutan sudah mengenali keluarga penyanyi terbabit selain merasa risau dengan keadaannya.
“Apabila Amira jatuh sakit, kami ambil peluang untuk ziarah dia di hospital. Ibu saya juga risau. Saya difahamkan, keluarga Amira juga tak tahu dia ada masalah tekanan darah rendah, jadi kami semua agak terkejut.” Ujarnya.
Baca juga: Remaja buktikan anak penjual nasi lemak pun mampu raih 4 flat STPM