Pelakon jelita, Nur Fazura didakwa berhutang kira-kira RM4.65 juta kepada sebuah syarikat pembekal tudung, Obor Holding Sdn Bhd yang masih belum diselesaikan sehingga kini.
Pengasas dan pengarah urusan Obor Holding, Lim Boon Hai berkata pihaknya sukar menuntut hutang dari syarikat aktres itu sejak 2023 dan hanya menerima cek tendang selepas berjanji mahu membayar hutang-hutang tersebut.
Berikutan itu, Lim berkata pihaknya telah memfailkan tuntutan kepada Pink Fate Sdn Bhd dan Fazfit Sdn Bhd bulan lalu kerana aktres itu tidak memberikan kerjasama yang baik.
“Kami sudah failkan kes ini di mahkamah bulan lalu selepas gagal mendapat respons yang baik daripada syarikat milik Fazura. Kami tidak menafikan sukar untuk menuntut hutang sejak penghujung 2023.
“Sejak tuntutan difailkan, tiada sebarang balasan daripada syarikat mereka kami terima sehingga kini.
“Kali terakhir kami berkomunikasi dengan Fazura dan pengurusan syarikat itu adalah pada penghujung 2024 namun mereka nampaknya memang tiada niat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Pada masa sama Lim berkata, syarikatnya mengalami situasi kewangan yang serius membuatkan dia terpaksa mengambil langkah lain untuk menyelesaikan isu ini.
“Saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku sehingga mereka tidak mampu melunaskan hutang sehingga kini. Apa yang kami terima hanya janji kosong konon mahu bayar namun yang kami dapat hanya cek tendang,” ujarnya.
Terdahulu pada Jun 2022, syarikat pembekal tudung, Obor Holdings memberi pinjaman kepada syarikat milik Fazura sebanyak RM7.3 juta.
Syarikat milik Fazura, Pink Fate Sdn Bhd dan Fazfit Sdn Bhd bagaimanapun hanya membayar RM2.68 juta setakat Disember 2023.
Baca juga: Zizan Razak sedekah bayaran jadi tetamu forum di Terengganu kepada pertubuhan kebajikan