Masalah yang dihadapi Felda sekarang bermula semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri apabila ia diperkudakan oleh beliau, dakwa tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin.
Menurut Kadir, Felda telah kerugian AS$505.4 juta apabila membeli sebuah ladang di Indonesia dengan harga AS$505.4 juta tetapi nilainya sekarang hanya AS$60 juta sahaja.
“Felda diperkuda zaman Najib. Beli ladang Indonesia AS$505.4 juta. Nilai sekarang AS$60 juta. Rugi AS$445.4 juta,” tulis bekas penasihat media perdana menteri itu menerusi facebook beliau.
Bagi beliau, dari segi fakta sejarahnya, FGV yang dilancar Najib pada tahun 2012 adalah punca masalah di Felda.
“Fakta sejarah: FGV punca utama masalah Felda. Najib lancar FGV tahun 2012,” kata beliau.
Semalam, Felda atau nama penuhnya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar di pasaran pada Disember 2016, lapor Sinar Harian.
Laporan polis itu dibuat Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan Felda membuat transaksi pada 2016 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) dengan PT Rajawali Corpora.
Menurut Othman, tawaran untuk membeli EHP yang dimiliki Tan Sri Peter Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib, diberikan kepada beberapa agensi termasuk FGV Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (MRB).
Bagaimanapun, katanya, Felda akhirnya dipaksa untuk membeli syarikat itu pada harga melambung melebihi 300 peratus sedangkan nilai pasaran saham pada ketika itu tidak mewajarkan pembelian pada harga sedemikian, lapor media itu.
Othman juga menyifatkan pembelian EHP sebagai bersifat ‘sepihak’ dalam memberi manfaat kepada Rajawali Group (pemilik EHP), kerana terdapat banyak risiko dalam urusan itu, selain kerana EHP tidak memiliki akreditasi Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), mahupun dilihat akan memperolehnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Othman turut menyalahkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, penggantinya Tan Sri Shahrir Samad, selain bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim yang dikatakan turut memainkan peranan dalam perkara itu.
Katanya, terma dan syarat perjanjian EHP juga dikatakan berat sebelah yang memihak kepada Rajawali sedangkan Kementerian Kewangan dan Felda/FIC menyedari terdapat banyak risiko pelaburan tersebut namun pembelian itu tetap diteruskan.
Tambah Othman lagi, jumlah yang dibayar untuk memperoleh 37 peratus dalam EHP adalah 344 peratus lebih tinggi dari nilai sebenarnya iaitu AS$114 juta.