Fenomena kenaikan harga rumah yang sentiasa meningkat dan tidak terkawal menyukarkan golongan belia memiliki rumah pada masa hadapan kerana kerajaan dilihat tidak mengunakan ‘ political will’ untuk mengawal harga pasaran rumah yang dimonopoli oleh pemaju perumahan.
Ketua Jawatankuasa Sosio Ekonomi Parlimen Belia Malaysia Ahmad Fadzil Ahmad Suhaili, mencadangkan agar kerajaan dapat menambah baik polisi pemilikan rumah mampu milik yang ditawarkan untuk golongan belia bagi menangani kenaikan harga rumah di pasaran semasa.
Katanya walaupun kerajaan menyediakan subsidi 20 peratus daripada harga pasaran semasa namun keupayaan belia untuk mendapatkan rumah mampu milik skim-skim perumahan rakyat disediakan kerajaan, tetap menyukarkan usaha menggalakkan rumah pertama dimiliki golongan belia.
“Subsidi kerajaan hanya 20 peratus dalam pasaran semasa harga rumah pula sentiasa meningkat. Akhirnya belia masih lagi tidak mampu untuk membayar walaupun kerajaan tawarkan anggaran RM100-RM400,000 seunit rumah mampu milik, tapi kami hanya mampu tengok,” ujarnya dalam perbahasan di Persidangan Parlimen Belia yang bermula hari ini di Parlimen.
Persidangan Parlimen Belia Malaysia Sidang 1 Tahun 2016 ini dihadiri seramai 124 orang daripada 133 orang Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM). Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohd Said mempengerusikan persidangan dua hari ini.
Ahmad Fadzil yang juga wakil Parlimen Belia dari Perak berkata, terdapat beberapa negeri telah berlaku ‘property buble’ yang mana penilaian terhadap harga rumah semakin meningkat tanpa kawalan.
“ Kita bimbang kini berlaku di Johor dan Pulau Pinang situasi ‘property bubble’ maksudnya peningkatan harga antara 20-25 peratus daripada harga semasa.
“Di Singapura misalnya dalam masa tiga tahun harga pasaran rumah meningkat naik ke 30 peratus yang mana kerajaan Singapura terpaksa mengambil masa tujuh tahun untuk berusaha menurunkan harga rumah secara perlahan akibat kenaikan harga rumah tidak dikawal diperingkat awal oleh kerajaan berkenaan,” ujarnya.
Selain itu dalam mengimbangi antara subsidi kerajaan dan harga pasaran semasa rumah yang meningkat, beliau mencadangkan agar kerajaan dapat memanjangkan tempoh pinjaman perumahan di institusi bank kepada 32 tahun bagi golongan belia.
“Maksima ‘ homeloan’ dipanjangkan kepada 32 tahun dengan ini dapat memberi ruang kepada belia menyesuaikan pembayaran balik dengan kadar bayaran bulanan yang lebih rendah,” ujarnya.