Dah macam ‘Final Destination’, pelawat menara Taming Sari tersangkut di udara setinggi 60 meter

Oleh KIM SYAZIE

Seramai 36 pengunjung berdepan dengan detik cemas selepas terperangkap dalam pelantar berputar, Menara Taming Sari, semalam.

Mana tidaknya, menara yang terletak di Bandar Hilir, Melaka itu tersangkut pada ketinggian 60 meter ketika dalam perjalanan turun ke bawah.

Difahamkan, menara Taming Sari itu mulanya menuju ke puncak pada ketinggian 110 meter sebelum sempat berputar kira-kira sebanyak dua kali.

Pengunjung yang teruja kemudian merasa panik apabila menara tersebut tiba-tiba berhenti berpusing dan tersangkut di udara.

Terkurung selama sejam, beberapa orang pengunjung mula menunjukkan tanda-tanda sesak nafas kerana kekurangan oksigen.

Memburukkan keadaan, pelantar yang berputar itu tidak mempunyai tingkap, malah dilengkapi dengan satu pintu servis sahaja.

Mendebarkan, pengalaman itu dikongsi oleh salah seorang mangsa yang menaiki menara bersama 12 orang ahli keluarganya, lapor Kosmo!.

Berasal dari Bedong, Kedah, mangsa iaitu Zulaini Zulkeple memaklumkan, pelantar itu dinaiki pada pukul 5.30 petang sebelum tersangkut.

Membawa anak kecil berusia enam tahun dan seorang bayi setahun enam bulan, keluarganya turut panik kerana bekalan oksigen semakin terhad.

Beberapa pengunjung juga terpaksa berasak duduk berhampiran pintu servis untuk mendapatkan oksigen yang masuk di celahnya.

Menurut Zulaini, mereka terperangkap selama hampir satu jam sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba.

“Pekerja penyelenggara menara telah memanjat naik ke pelantar menerusi tali kabel untuk menggerakannya secara manual.

“Sampai sahaja di bawah, pasukan bomba terus memecahkan kunci pintu bagi mengeluarkan kami semua.” Kongsi Zulaini.

Baca juga: Penumpang Mas, Firefly tak perlu matikan telefon pintar dalam pesawat