Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan syarikat penerbangan Malindo Air untuk memohon maaf kepada semua penumpang yang ‘tersadai’ di lapangan terbang baru-baru ini susulan tindakan pihak syarikat itu menangguh perjalanan tanpa apa-apa notis.
Sejak 23 December lalu, tular rungutan beberapa pelanggan Malindo Air di media sosial mendakwa syarikat penerbangan itu tidak menjaga kebajikan mereka seperti tidak menyediakan bilik penginapan sementara ketika perjalanan didakwa tergendala selama 8jam.
“YB please do somethinglah to Malaysia punya airline operator. @malindoair tak ada hati perut ke nak maklumkan kepada pelanggan hantar blanket atau neck pillow at least. Delayed dari jam 11 ke 6 pagi dalam airport sejuk macam ni? Tolonglah elok sikit,” tulis salah seorang pengguna terkesan, Mohd Firdaus Jailan.
Loke kemudian membalas ciapan itu malam tadi dengan memberitahu bahawa pihak Malindo Air akan menghubungi semua penumpang yang terjejas sebagaimana yang dinyatakan pihak syarikat itu ketika dihubungi beliau.
Banyak video rungutan individu itu juga tular di media sosial menyebabkan orang ramai turut menggesa kerajaan memberi perhatian mengenai perkara itu.