Kumpulan G25 yang mahu memansuhkan hukuman terhadap perbuatan berkhalwat adalah satu cadangan yang keterlaluan dan boleh menyebabkan orang ramai tersalah tafsir agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini, demikian pandangan Exco Agama Pergerakan Pemuda Umno, Dr. Fathul Bari Mat Jaya.
Cadangan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin itu juga dakwanya, telah memanipulasikan Al-Quran dan hadis untuk kepentingan diri dan hanya menggunakannya apabila merasakan ada kepentingan untuk diri sendiri.
Noor Farida membuat kenyataan agar hukuman terhadap perbuatan berkhalwat dimansuhkan kerana perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian adalah hak dan privasi setiap individu.
Fathul Bari turut menjelaskan terdapat cubaan untuk meliberalkan pemikiran manusia dan meliberalkan sistem berasaskan keIslaman di negara ini dengan mewujudkan cadangan seperti membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kenapa institusi-institusi Islam pada hari ini diserang dalam pelbagai sudut? Jakim, Tabung Haji dan mungkin akan menyusul beberapa lagi kita tidak tahu jadi saya melihat ada agenda liberisasi yang digerakkan oleh pihak tertentu.
“Perkara ini sangat bahaya dan saya berharap agar rakyat melihat, menilai dan meneliti hujah bagi setiap sesuatu dan sekiranya ada kekaburan dalam memahami nas-nas Al-Quran dan hadis rujuklah kepada ilmuan-ilmuan Islam.
“Jangan membuat pendirian tersendiri yang hanya bergantung kepada logik akal kerana manusia berbeza-beza apabila memahaminya.
“Kita perlu mempunyai disiplin dalam memahami agama. Jika sesuka hati akan wujudlah golongan seperti Kasim Ahmad, Ayah Pin kerana mereka mengulas, memahami, mentafsirkan dengan sesuka hati mereka sendiri,” ujarnya dipetik daripada portal rasmi Umno.