Majlis Amanah Raya (Mara) dilaporkan telah menyerbu kediaman mewah milik pelakon sensasi, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pagi tadi.
Menurut sumber, tindakan itu dilakukan oleh Mara supaya pihaknya boleh menilai harga barangan dalam kediaman pelakon berusia 51 tahun terbabit untuk tujuan penyitaan, lapor Sinar Harian.
Hal ini berikutan pelakon utama drama Kiah Perkasam itu dikatakan gagal menjelaskan hutang pinjaman berjumlah hampir mencecah RM1 juta daripada agensi berkenaan.
Difahamkan ketika serbuan berkenaan dilakukan, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu tiada di rumah begitu juga dengan suaminya yang turut bergelar pelakon iaitu Zain Saidin.
Hanya kelibat ibu Rozita sahaja yang terlihat mendiami kediaman mewah dua tingkat itu namun selepas sejam pihak Mara membuat penilaian, anak sulungnya iaitu Ammar Effendi dilihat memasuki rumah tersebut.
Setakat ini, Rozita belum memberikan sebarang maklum balas mengenai serbuan di kediamannya itu malah usaha pihak media untuk menghubungi pengurus pelakon terbabit juga tidak berjaya.
Baca juga: Naik 4kg lepas berhenti rokok, Hattan akui hidup lebih sihat