Tular sebelum ini mengenai pihak katering yang didakwa memberikan kambing kurus untuk akikah pada harga lebih RM5,000.
Lebih mengecewakan lauk dijanjikan juga tidak diberikan malah pihak katering sibuk buat laporan polis konon di provok ahli keluarga terlibat.
Menurut Kosmo! Online, salah seorang ahli keluarga yang menjadi mangsa memaklumkan pihak katering telah mengembalikan baki wang yang dibayar untuk majlis kenduri akikah.
Jelas Muhammad Aiman Arif Azhar, bayaran sebanyak RM3,000 itu adalah selepas pihak katering didakwa gagal menyediakan juadah seperti dijanjikan pada hari raya ketiga lalu.
Malah pihak katering akan menanggung sendiri kerosakan sebuah van sewa yang didakwa dirosakkan pihak tertentu pada hari kejadian.
Dalam pada itu, dia mengakui pelik apabila pihak katering membuat laporan polis konon ahli keluarganya merosakkan van dengan alasan keluarga tidak berpuas hati dengan tempahan diberikan.
“Namun, hasil perbincangan lanjut dengan pihak polis, pemilik katering bersetuju memulangkan semula baki wang selain menanggung sendiri kos kerosakan van.
“Pihak katering tidak dapat membuktikan kerosakan van itu berpunca dari perbuatan ahli keluarga kami,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Meskipun wang sudah dipulangkan, lelaki yang bekerja sebagai jurutera itu mengakui kecewa kerana sudah lama merancang untuk mengadakan majlis akikah tersebut.
“Saya dan isteri telah merancang lama untuk menganjurkan majlis itu di rumah abang di SP Saujana, di sini, ketika pulang bercuti sempena sambutan hari lebaran tahun ini.
“Lebih mengujakan abang saya turut sama menunaikan akikah anaknya dan kami telah menjemput ramai ahli keluarga serta kenalan untuk memeriahkan majlis bersekali dengan sambutan hari lebaran,” tambahnya.
Pada masa sama, dia memaklumkan hantaran di media sosial dimuat naik untuk beri peringatan buat orang ramai agar berhati-hati dalam memilih katering.
Baca juga: Bayar RM5k tapi kambing golek kurus kering, lauk tak cukup…satu keluarga bengang ditipu katering